Kegagalan mentor agama

Fathi Aris Omar
Jun 20,05 1:06pm

“…it is clothes that wear us and not we them; we may make them take the mould of arm or breast; but they mould our hearts, our brains, our tongues to their liking.” – Virginia Woolf dalam Orlando (1956: 188)

Rupa-rupanya Islam melarang, atau setidak-tidaknya pernah mengingatkan, agar umat Islam tidak meninggalkan di belakang mereka zuriat yang lemah. Dan rupa-rupanya gerakan-gerakan Islam menjadi sarang tempat membiak zuriat aktivis muda dakwah yang lemah longlai.

Seperti al-Quran menganjurkan budaya fikir dan dialog yang berlanjutan, supaya setiap jiwa itu mandiri dengan fikiran masing-masing, tetapi kesan di sebalik saranan kitab suci ini pula yang berkembang biak dalam gerakan-gerakan dakwah. Agama menjadi tempat melemahkan akal.

Islam itu dikatakan satu sistem yang lengkap dan sejagat, tetapi tiba-tiba mitos lain muncul dalam penghayatannya – dunia yang kompleks dan penuh simpang-siur tidak digali dan difahami sepenuhnya untuk membolehkan idealisme agama diterapkan atas manusia dan kemanusiaannya.

‘Sibghatullah wa man ahsanu minallahi sibghat’ tiba-tiba hilang konteks manusiawi dan tenaga sosial, di tangan gerakan Islam Malaysia ia menjadi khayalan (kalaupun bukan utopia).

Yang muncul aktif di permukaan wacana awam sekadar agama yang telah disekularkan – agama tanpa dinamika sosial dan kemanusiaan. Sedangkan sekularisme itu ditentang habi-habisan! Di sini Islam terbelah dua: ‘Islam sebagai idealisme’ slogan dan ‘Islam sebagai ideologi’ gerakan politik.

Semakin laris nama Islam dan nama Tuhan dikumandangkan, semakin goyang kaki para penutur idealismenya. Islam dan Tuhan dipakai sekadar jubah diri untuk berkhayal dan bermalas-malasan.

Semua keburukan tersembunyi ini, ke manakah kesan buruknya berakhir? Semuanya dianut dan dihayati oleh anak-anak muda – orang yang ditarik ke medan dakwah dan amal Islami tanpa latihan dan ‘persenjataan’ ilmu.

Dalam bahasa Hishamuddin Rais, gejala penuh paradoks seumpama perjalanan gerakan Islam di negara ini (sejak 1970-an) – seumpama enam pelakon mencari pengarah – mungkin dianggap absurd sekali! Keabsurdan agama inilah yang saya ingin sampaikan di sini.

Mungkin benar kata Dr Siddiq Fadzil, sewaktu menjawat presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pada 1980-an, bahawa aktivis Islam terlalu banyak dan lama pula dengan “perisytiharan-perisytiharan niat”.

Ternyata niat membuka sekolah-sekolah Islam atau sistem indoktrinasi dakwah Abim, Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan PAS itu hanya melahirkan generasi muda yang tidak kompeten dan gagal berdaya saing.

Dr M dan putung rokok

Anak-anak muda yang mahu berfikiran maju terpaksa keluar dari kelompok-kelompok ini dan mengkritik ke arah pusat kelemahan itu bagi menajamkan akal sendiri, bukan lagi bersama sistem indoktrinasi dakwah yang sudah merosakkan itu.

Dr Mahathir Mohamad, sewaktu menjadi perdana menteri, pernah dilaporkan suka meronda-ronda kota Kuala Lumpur dengan sebuah buku catatan kecil. Buku catatan inilah yang akan dijadikan, antaranya, bahan-bahan untuk dibawa ke mesyuarat kabinet.

Suatu hari, begitulah kita dikhabarkan, bekas perdana menteri ini tidak senang dengan puntung rokok yang bersepah-sepah mencemarkan bandaraya. Lucunya, syarikat anak beliau sendiri Alam Flora di antara pihak yang ditugaskan untuk mengendalikan sampah di Kuala Lumpur!

Cerita ulasan Dr Mahathir ini mengingatkan saya pada artikel-artikel yang ditulis oleh Dr Haron Din, Dr Dzulkifli Ahmad, Dr Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali, Dr Danial Zainal Abidin, Dr Shafie Abu Bakar, Dr Siddiq Fadzil dan Khalid Jaafar.

Orang-orang tua gerakan Islam ini – dalam isu ‘Islam Liberal’ – menjadi seumpama rungutan Dr Mahathir pada puntung-puntung rokok di Kuala Lumpur dalam mesyuarat kabinet! Orang-orang tua terpaksa berkerja keras apabila anak-anaknya gagal menjalankan tugas dengan berkesan. Padahal, bukankah anak itu mangsa sosialisasi bapanya?

Tulisan-tulisan setaraf pelajar STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) terpaksa disediakan oleh pemimpin-pemimpin besar ini (yang dinyatakan namanya di atas). Sementara kerja anak-anak muda aktivis agama pula mengecam dan mencela musuh-musuh politik yang berseberangan ideologi dengan wacana agama mereka (khususnya di Internet), bukan membahaskan isu-isu dengan ungkapan dan debat teori yang mendalam.

Kenapa dan bagaimana muncul gejala seumpama ini?

Anak-anak muda kehilangan jejak, mereka tidak bertemu model baru wacana atau tingkat tinggi pengolahan idea dan sisi-sisi beragam kerana ‘wacana siling’ (seperti juga ‘harga siling’) yang ditetapkan terlalu rendah. Maka, mereka tidak dapat melangkaui tingkat kerendahan mutu yang sedia yang dibekalkan oleh tokoh-tokoh dan mentor-mentor yang dihormati mereka (seperti nama-nama itu).
Anak-anak muda dakwah ini sekadar ‘terinterpellasi’ (meminjam maksud Louis Althusser) dengan tempurung wacana awam kita yang terlalu kecil – tidak bersesuaian dengan piawaian mutu debat intelektualisme sejagat. Proses interpellasi ini sudah lama bersarang dalam sistem indoktrinasi kelompok-kelompok dakwah, misalnya usrah, tamrin dan bahan-bahan bacaan, kira-kira lebih 20 tahun lalu.

Sewaktu saya mengkritik sistem tarbiah ini pada tahun 1992 dan 1993, proses pendidikan dan indoktrinasi dakwah ini sudah terlalu buruk untuk generasi saya yang lebih muda 15 atau 20 tahun daripada penggerak awal kebangkitan Islam 1970-an.

Kuasa sosial yang dominan

Saya (sekadar contoh peribadi) terpaksa meraba-raba sendirian dalam kegelapan wacana dan bimbingan ilmu di negara kita mencari Jürgen Habermas, Pierre Bourdieu, Nawal Saadawi, Roland Barthes, Antonio Gramsci, Jacques Derrida, Michel Foucault, Immanuel Kant, Karl Popper dan Jean Paul Sartre – satu pencarian yang mematahkan tulang belakang.

Satu bentuk kemiskinan akal dan kegersangan bahasa yang saya saksikan sendiri bertempek-tempek pada generasi aktivis (dan juga bukan aktivis) kini yang berusia 20-an sekarang, yang mendorong saya kemudiannya meragui generasi mentor gerakan agama (usia 50-an atau 60-an sekarang) dalam bab ‘Cinta anak muda’ buku saya Patah Balek: Catatan terpenting reformasi.

Anak-anak muda kita menjadi korban di tangan gerakan-gerakan dakwah selepas terkorban di bawah rekayasa sosio-budaya-politik bangsa dan negara (juga secara serius bermula pada wal 1970-an dan disempurnakan sepanjang 22 tahun pentadbiran Dr Mahathir).

Gerakan dakwah yang yakin pada ketulenan agamanya tiba-tiba tidak ada daya tahan tetapi turut terjerumus di bawah dampak-dampak buruk rekayasa nasional ini. Islam yang diusrahkan oleh gerakan-gerakan Islam kita rupa-rupanya tidak rintang (resistant) mendepani kemelut ini, sebaliknya turut larut dan hanyut di bawahnya. Jika begitu, di mana istimewanya ‘agama suci’ anda itu?

Rekayasa bangsa ini membodohkan kami orang muda dari segenap penjuru. Tidak cukup pendidikan dan media massa yang diperkudakan pemerintah (ideological state apparatuses, kata Althusser), semua kuasa sosial yang dominan seperti gerakan pembangkang, jemaah Islam dan ‘Gerakan Reformasi’ itu rupa-rupanya sekadar ‘mengata dulang, paku serpih’!

Hari ini, setelah bertahun-tahun membacanya, dapatlah saya faham sebenarnya apa yang tersirat di sebalik pergelutan intelektual Syed Hussein Alatas sewaktu beliau menyusun Intelektual Masyarakat Membangun (1970-an) atau Dr Chandra Muzaffar dengan Islamic Resurgence in Malaysia (1980-an) – dua buku ini awal-awal lagi mengisyaratkan kecelakaan sosial kita sedang lalui saat ini.

Tetapi hal ini tidak disedari kita bersama kerana perbandingan piawai (ukuran subjektif) mentor-mentor ini bukanlah dunia sejagat tetapi diri mereka sendiri di negara ini dan rakan-rakan mereka di bawah tempurung Malaysia yang sempit.

Mereka diam-diam menyembunyikan rahsia bahawa takungan pemikiran mereka sebenarnya tidak mendalam – jika air idea di sumur ini digunakan lebih meluas, apabila semakin tersebarnya pengaruh gerakan agama, maka akan keringlah takungannya.

Jika mentor-mentor agama ini pernah berfikir dan merumus isu gaya 1970-an dan 1980-an begitu, maka artikel-artikel seumpama itulah yang muncul sekarang, dalam kecaman mereka pada label ‘Islam liberal’, lebih 20 tahun kemudian! Takungan ilmu mereka kecil dan cetek.

Sebab itu, soal liberalisme, debat demokrasi dan teori hak asasi tidak dibahaskan seperti mesin memerah tebu – di mana kita beramai-ramai mengecapi manisnya dan dapat menyisih hampas-hampas.

Takungan pemikiran dan ilmu

Proses pemerahan akal dan penyisihan kebernasan yang tidak selesai inilah yang memaksa persoalan debat moral ditukar topik kepada taktik kotor penglabelan ‘Islam liberal’. Rupa-rupanya ia sejenis konspirasi besar! Konspirasi untuk menyembunyikan takungan pemikiran dan ilmu yang semakin kering di pusat gerakan agamawan!

Kata Ulil Abshar-Abdalla, sewaktu melancarkan buku ‘Islam, negara dan civil society: Gerakan dan pemikiran Islam kontemporer’, semakin luas agama tersebar, semakin dangkal kefahaman agama penganutnya. Gejala inilah yang membiak di negara kita dalam rentang waktu lebih 30 tahun itu.

Tidak muncul satu pun ungkapan atau kosa kata baru dalam wacana-wacana terkini politik kita – misalnya catallaxy, anchorage, deliberative democracy, interpellative power, symbolic order, language-object, subjectivity, textuality of self, polyvalence of discourses, signification, aesthetic objectification, hermeneutics, atau politics of meanings – yang menggambarkan kemasukan idea-idea halus, cair, semasa, ruwet dan perinci daripada label-label besar (seperti papan iklan billboard) liberalisme, demokrasi, hak asasi manusia dan moraliti pada sisi faham sekular-liberal tersebut.

Kita tertindih di bawah label-label besar yang asalnya kita usung beramai-ramai – faham liberal, syariat, demokrasi, keruntuhan akhlak, hak asasi manusia, Islam dan moraliti. Jadi, persaingan wacananya sekadar mencipta saiz billboard pihak manakah yang lebih besar dan memukau pemandu di jalanan – Islam atau demokrasi? Apa yang kita namakan ‘wacana’ rupa-rupanya sekadar sound byte dan footage iklan!

Apabila mentor-mentor agama ini mencengkam nadi orang muda di bawah imej diri mereka sendiri dan menabur indoktrinasi-indoktrinasi, akhirnya orang muda mati! Anak-anak muda bergelimpangan dalam kegelapan, satu demi satu rebah berjatuhan, sewaktu ada usaha mendidik, mengusrahkan dan ‘mencerahkan’ mereka. Anak muda kehilangan punca dalam simpang-siur wacana yang beragam. Ada nada cemas, takut dan gelisah pada diri mereka – tetapi puncanya apa?

Generasi mentor ini menjadikan anak muda bidak-bidak catur atau sekadar guinea pig di makmal-makmal wacana politik agama kita – tidak ubah dasar-dasar pendidikan kita yang tidak tentu hala mengikut keseronokan menterinya.

Akhirnya yang tertinggal sekadar kata-kata W. S. Rendra ini: bila daya hidup orang tua sudah melemah, dan mentalnya sudah mandul, maka dia akan bersikap eksploitatif dan oportunis kepada anaknya. Dia akan merampas kemandirian hidup anaknya dengan kepentingan menopang hidupnya yang ‘kehilangan kemampuan untuk tumbuh dan berkembang.’ (Penyair dan Kritik Sosial, hal. 53-54)

Gerakan Islam umumnya sedang menuju zaman malap, zaman merebaknya rasa tidak selamat, dan ingin lari ke dalam diri, gemar bersandar pada wacana tradisi kerana sudah hilang daya saing intelektual untuk menyahut cabaran zaman.

Jika muncul dua atau tiga kali lagi ‘serangan pemikiran’ ala isu anti-kawalan moral baru-baru ini, pastilah kita akan nampak sifat-sifat liar, kaget, resah, beremosi dan keras manusia-manusia yang terdesak ini. Mereka tidak siap secara mental dan psikologi sewaktu isu-isu ini bermunculan.

Amaran: Sesiapa sahaja yang ingin bermain api wacana dengan idealisme agama, seperti Sisters-in-Islam (SIS), penulis-penulis kritis dan jawatankuasa penggubal Suruhanjaya Antara-Agama (IFC), beringat-ingat tentang satu perkara ini – tentang tidak siapnya gerakan-gerakan Islam untuk mendepani zaman yang berubah pantas kerana kegagalan menyelami zeitgeist. Mereka mudah meracau-racau, melatah dan mengamuk. Awas!

Ulasan