Dari Abang Pompeii Kepada Adik K.L

Adik,

Abang ada satu cerita untuk kamu. Ini kisah benar, berlaku tak lama dulu sebelum kamu dilahirkan. Ini kisah ngeri, mari duduk dekat-dekat supaya kamu boleh dengar betul-betul apa yang abang ingin ceritakan.

Adik,

Suatu masa dulu ada sebuah bandar yang permai di kaki gunung. Suasananya aman tenteram tiada peperangan. Kolamnya jernih dengan ikan berenang-renang manja. Sungainya mengalir damai bak Kauthar dari syurga ‘Adnin. Pohon-pohonnya bila ditiup angin, aduhai gemersik. Buah-buahnya masak ranum, bergayutan bak hidangan dari kayangan. Rakyatnya hidup dengan sentosa, pelbagai agama seiya sekata. Bandar ini dengan segala kesenangannya, benar-benar hadiah kasih dari Tuhan yang maha penyayang…benar-benar syurga yang disegerakan.

Adik,

Sampai suatu masa bandar kasih Tuhan ini diintai orang. Datanglah satu kaum penyembah syaitan membuat onar. Bila dilihat kedamaian bandar ini begitu mengasyikkan, begitu menguntungkan, dibinalah tempat-tempat hiburan dan rumah-rumah pelacuran. Katanya untuk menarik manusia datang berbelanja, agar kelak bandar ini lebih maju dan berswadaya. Maka datanglah manusia berbondong-bondong ke bandar ini. Penyembah Tuhan dan penyembah syaitan bercampur sekali, sama-sama menikmati hidangan palsu duniawi.

Adik,

Walaupun bandar kasih ini sudah menjadi najis, Tuhan yang maha penyayang tetap memberi kurnia tak putus-putus. Sungai-sungainya masih mengalir tawar. Kolam-kolamnya masih sejernih kaca. Buah-buahnya bahkan semakin ranum berjatuhan. Maka semakin asyiklah kaum di dalamnya. Semakin lupa kepada Ar-Rahman yang memberi kurnia. Rumah-rumah ibadah sunyi terpana. Rumah-rumah pelacur meriah tak terkata. Onar bahkan melimpah ke jalan-jalan, mukah dan zina menjadi pameran. Manusia dan anjing sama-sama mengawan bersebelahan. Aksi-aksi yang suam kuku mahupun panas berapi diabadi ke dinding-dinding, seolah-olah mereka ingin memberitahu dunia-dan Tuhan yang Penyayang-bahawa INILAH LAMBANG KEMAJUANNNNNN !

Adik,

Dek semakin hancurnya kemanusiaan di bandar ini, Tuhan yang Penyayang lalu memberi peringatan. Suatu petang yang damai tiba-tiba tanah di bawah kaki bergegar. Mahligai-mahligai rebah mengebumikan tuan. Jambatan-jambatan runtuh melemaskan orang ke dasar sungai. Kebun dan taman hilang lenyap, ditelan berlapis-lapis ke dalam bumi. Gempa petang itu meluluh-lantakkan segala peradaban. Peringatan Tuhan datang menjentik nurani insan. Lalu tersedarlah para penyembah Tuhan, kembali ke pangkal jalan. Dengan anak dan isteri, berbondong-bondong mereka keluar berkelana. Tinggallah bandar kenangan menjadi sarang durjana.

Adik,

Rupanya gempa ini bukan sekadar peringatan. Sebenarnya adalah rancangan Tuhan untuk penyembah syaitan. Mereka kekal di bandar membina semula peradaban. Kekal dengan hobi dan tabiat berhibur-hiburan. Peringatan Tuhan hilang ditelan zaman. Terus mengawan di jalan-jalan bak haiwan. Sampai masanya yang telah tertulis, janji Tuhan datang tak tertahan-tahan. Gunung yang selama ini berdiri memerhati di kejauhan, hari itu ia memuntahkan api berhamburan. Penyembah syaitan terus bersukaria tak ketahuan. Terpedaya dengan bisikan iblis – jangan bimbang, api itu takkan datang. Lalu berlakulah takdir yang mengerikan, batu-batu neraka turun menghujan. Dari gunung, api menyala datang bergulung-gulung bak ombak mengejar nelayan. Sekelip mata bandar kasih menjadi lautan api, semuanya terbenam di perut bumi. Masa dan waktu seakan berhenti. Yang bermukah di jalan-jalan, yang di rumah pelacuran, yang di meja-meja perjudian, keras membatu bersama lava berapi. Bandar kasih benar-benar tinggal kenangan. Beberapa kurun ia tidur dilupakan zaman. Sampai suatu masa yang dijanjikan Tuhan, ia dipamerkan semula menjadi peringatan. Seolah-olah Tuhan berfirman – Hambaku, maksiat begini jangan diulang. Pada waktu itu penyesalan hanya tinggal penyesalan........

Adik,

Akhirnya aku memberitahu kamu, akulah bandar itu. Pompeii yang pernah megah satu ketika dulu. Janji Tuhan yang Maha Penyayang telah menimpa atasku. Binasa punah dek manusia yang tak tahu malu. Adik, jangan diulangi kisahku. Jangan kamu rasa bermandi api dan menjadi batu. Kembalilah kepada Tuhan yang Maha Penyayang lagi menyayangimu.

Adik Kuala Lumpur, ingat pesanku… Abang Pompeii yang tak ingin kau hancur sepertiku…

Ulasan