Kebangkitan Islam Di Eropah – Antara Realiti dan Mimpi Ngeri
Kurun ke 21 menyaksikan kebangkitan Islam yang pesat di
merata dunia. Benua Eropah antara yang paling hangat merasakan kesannya. Jika kebangkitan
Islam di timur lebih menumpukan kepada spek pengamalan syariat, di belahan
dunia barat pula Islam mendapat tempat di hati insan-insan yang kekosongan jiwa
dan mencari lmpu buat menyuluh kehidupan.
Artikel kali ini memfokuskan kebangkitan Islam di Barat yang amat
menarik untuk diteliti.
FAKTOR KEBANGKITAN
Kebangkitan
Islam di Eropah tidak terjadi dengan sendiri. Ia dicetuskan oleh beberapa
situasi yang melanda benua Eropah beberapa dekad sebelum itu. Dengan lambakan
hiburan, desakan keperluan hidup dan persaingan meraih pangkat dan status dalam
masyarakat melahirkan sistem kehidupan yang celaru di sana. Walaupun zahirnya
masyarakat mereka kelihatan teratur (bahkan lebih hebat dari masyarakat muslim
sendiri) namun dek kekontangan spiritual akhirnya segala pembangunan dilihat
kosong tak bererti. Pasca tragedi 911, Islam mula dikenali secara meluars di
dunia barat. Walaupun media meletakkan label yang buruk-buruk kepada agama suci
ini namun masyarakat Barat yang gemar mengkaji akhirnya menemui intisari
sebenar di sebalik gambaran Islam yang diwar-warkan.
Di sebalik
nama-nama besar seperti Yusuf Islam, Michael Jackson dan Kristiane Backer,
penduduk Eropah yang memeluk Islam sebenarnya sedang bertambah melebihi jangkaan.
Data terbaru menunjukkan anggaran bilangan muslimin di Eropah kini berjumlah hampir
50 juta orang, iaitu 4% bilangan
keseluruhan penduduk benua Eropah. Antara yang terbanyak menampung penduduk
muslim ialah Bosnia dan Turkey di Eropah Timur manakala Perancis, Jerman dan
United Kingdom di Eropah Barat. Trend memeluk Islam di kalangan warga Eropah
kebiasaannya disebabkan perkahwinan antara muslim dan bukan muslim selain
pertimbangan intelek dan feminisme. Tetapi kebelakangan ini trend ini mula
berubah kepada memeluk Islam kerana mencari pengisian jiwa dan ketenangan
spiritual.
ISLAM DALAM SEJARAH EROPAH
Menyoroti
catatan sejarah, kita maklum bahawa Islam telah bertapak di Benua Eropah seawal
kurun kelapan Masihi dengan ketibaan angkatan prajurit Islam pimpinan Panglima
Thariq bin Ziyad ke selatan Sepanyol. Dengan berdirinya Negara Andalus di sana,
Eropah telah menerima suntikan ilmu dan dan kemajuan yang merubah seratus-peratus
wajah mundur benua itu hingga menjadi sehebat Eropah yang ada sekarang. Emma
Hartley, seorang wartawan senior di Eropah menulis dalam bukunya, Eropah: 50
Fakta Yang Perlu Diketahui bahawa “Eropah takkan wujud tanpa Islam”.
Kenyataan
ini sangat tepat bagi menggambarkan sumbangan Agama Islam kepada benua Eropah
dan seluruh penghuninya. Jika tidak kerana tamadun ilmu yang berdiri di
Al-Andalus, Eropah akan kekal berada dalam kebodohan dek cengkaman gereja yang
memisahkan urusan agama dari kemajuan dunia. Al-Andalus bukan saja menjadi
jambatan yang menghubungkan pengetahuan Timur dan Barat, bahkan menjadi ‘replika’
ajaran Islam yang cintakan kedamaian, menghargai persamaan dan meletakkan akal
manusia ke tempat yang selayaknya.
Sesetengah
sejarawan Barat dan Timur menyebut Al-Andalus sebagai tamadun yang dibina
bersama oleh Muslimin dan Yahudi. Ia adalah kenangan manis buat bangsa Yahudi
betapa mereka telah mendapat pengiktirafan dan menikmati kemajuan intelek di
bawah naungan Islam. Jabatan-jabatan kerajaan di Andalus diisi bersama oleh
Muslimin dan Yahudi, bahkan Al-Andalus turut membuka gerbang universitinya
kepada penuntut ilmu dari seluruh dunia tanpa mengira latar belakang agama
mahupun bangsa. Dengan kemajuan ilmu pengetahuan dan toleransi yang diamalkan
di Andalus, benua Eropah menerima impak besar yang memacu kebangkitan mereka
hingga menjadi kuasa yang disegani pada hari ini.
EURABIA – MIMPI NGERI ISLAMISASI EROPAH
Namun bagi
segelintir bangsa Eropah, kebangkitan Islam di sana dianggap satu bencana yang
memudaratkan. Walaupun kadar pertumbuhan umat Islam amat sedikit ia tetap
dikira ancaman yang perlu dibanteras. Gisele Littman, penulis British berbangsa
Yahudi telah menulis satu teori penguasaan Islam ke atas Barat dengan
menggambarkan bahawa ia didalangi pemimpin komunis haluan kiri Eropah. Dalam bukunya
bertajuk: EURABIA – The Euro-Arab Axis beliau menuduh Islam menjadi punca
tersbarnya sentimen anti-Amerika dan anti-Semitik di Eropah kini. Penulisannya mencetuskan
kebimbangan tak bertempat di kalangan masyarakat Eropah yang tidak mendapat maklumat
tepat mengenai Islam.
Ekoran itu
lahirlah tindakan-tindakan ganas terhadap umat Islam di sana. Antaranya
larangan berhijab di Perancis, penyiaran karikatur menghina Nabi s.a.w yang tak
berkesudahan di Denmark, pembunuhan Syahidah Hijab, Almarhumah Marwa
El-Sharbini di Jerman, serangan ganas di Norway, pembakaran masjid di United
Kingdom dan lain-lain kes yang tidak mendapat liputan media. Muslimin baik yang
merantau dari luar Eropah mahupun penduduk asal benua itu yang memeluk Islam
menerima kesan langsung atas situasi yang berlaku.
Tidak dinafikan,
sikap muslimin di dunia Timur sendiri menyebabkan salah tanggapan ini berlaku. Jika
diteliti lontaran idea para pendukung teori Eurabia ini, jelas sekali mereka
menjadikan keganasan dan sikap buruk Muslimin di Timur sebagai asbab untuk
mereka membenci dan menentang kehadiran Islam di Barat. Umat Islam Timur yang
mudah melatah dengan mainan isu, pantang dicuit terus terlompat menjerit di
jalanraya menjadi bahan ejekan dalam media mereka di Barat. Ucapan-ucapan
pemimpin Islam yang ekstrim baik di Asia mahupun Afrika turut dijadikan dalil
bahawa Islam menangani segala-galanya dengan keganasan. Dalam dunia tanpa
sempadan kini, tanpa disedari kesilapan segolongan manusia di tempat lain
menyebabkan insan di tempat lain pula menerima bencana.
MENUJU AL-ANDALUS KEDUA
Meskipun
dilimgkari keserabutan yang tak kunjung reda, namun harapan buat Islam sentiasa
menyala di Eropah. Kekosongan jiwa insan yang mencari dahan berpaut akhirnya
akan tetap akur akan kebenaran wahyu Sang Pencipta. Islam di Eropah benar-benar
kembali ke titik asalnya sewaktu diturunkan ke dunia. Tanpa sebarang pangkat
dan kuasa, dakwah Islam menyebar damai dengan usaha halus dan akhlak mulia yang
dipamerkan saudara-saudara kita di sana. Muslimin di dunia Timur sepatutnya menyokong
usaha ini dengan kembali berpegang dengan ajaran agama yang sebenar. Bukan saja
pada pengamalan Syariat, yang lebih penting dan terutama dari tiu ialah
pemurnian Akidah dan Akhlak seperti sabda Baginda s.a.w mafhumnya, “Sesungguhnya
aku dibangkitkan untuk menyempurnakan Akhlak”.
Dwngan usaha
berterusan dan bersepadu antara Muslimin di Timur dan Barat, cahaya Islam akan
kembali memancarterang bukan sahaja di Eropah, bahkan dunia seluruhnya.
InsyaAllah.
artikel menarik untuk dirujuk.
BalasPadamterima kasih sudi berkunjung. saya tunggu perkongsian dari saudara pula :)
Padam