Kehidupan Pelajar Malaysia di Mesir II - Bermula Cerita

Artikel 'Kehidupan Pelajar Malaysia di Mesir' nampaknya dapat kunjungan tertinggi di blog ni. Biasa la saya pun suka baca kehidupan orang lain kat tempat lain. Tak dapat pergi pun tapi macam kita dapat rasa apa yang dia lalui. Memandangkan blogger yang dikasihi sekelian nampak cam nak tahu banyak jadi saya ingat nak buat siri kedua.

Nak cerita pasal kehidupan pelajar Malaysia kat sini sebenarnya ada terlalu banyak sisi yang boleh diintai. Sebab Mesir sebuah negara yang unik, jadi pelajar Melayu yang dah berakar kat sini pun menjalani bermacam2 rupa kehidupan yang kadang-kadang kita pun tak terfikir kat Malaysia. Dulu sorang kakak senior pernah pesan kat saya sebelum datang sini : "Nanti kamu pergi sana tengoklah, perangai orang kita pelik2 yang kadang2 kat Malaysia pun kita tak jumpa". Memang betul. Sama ada jadi baik atau jadi teruk, perangai orang kita kat sini memang kadang2 tak masuk akal. Tapi biarlah itu urusan diorang dengan Allah. Kita sesama Muslim sentiasa doakan yang baik-baik. Sebab kita tak tahu mungkin dia sedang diuji, dan boleh jadi dia lebih mulia di sisi Allah walaupun zahirnya tak berkenan dipandang mata.

Siri pertama artikel ni saya tulis secara umum dan cuba berdiri tengah2 antara semua pihak. Kerana pada waktu ini hubungan persatuan pelajar dengan pihak Jabatan Penuntut agak 'berangin'. So tulisan pun kena jaga2 jangan tercubit orang sana, tersinggung orang sini. Kali ini saya tulis apa yang saya lalui sendiri tanpa mencampuri hidup orang yang mungkin akan menimbulkan kontroversi.

Sekadar kongsi dan muhasabah bersama. Yang baik dijadikan teladan. Yang buruk dijadikan sempadan :)

Tahun Pertama

Saya sangat bersyukur kepada Allah s.w.t sebab dalam empat tahun di sini saya diberi peluang melalui empat kehidupan yang berbeza. Masih berperanan sebagai pelajar cuma 'warnanya' pelbagai. Tahun pertama di Mesir bolehlah dikatakan saya macam budak nerd yang hidup berputar sekitar kuliah dan buku sahaja. Semangat kan, budak baru sampai (walaupun saya bukan budak lagi masa tu). Waktu sampai di Mesir sekitar awal September 2008, saya disambut beberapa pelajar dari BKAN Selangor yang membawa saya pulang ke asrama dan membantu urusan kemasukan ke kuliah. Saya dan kawan2 seangkatan tinggal di Kaherah selama dua bulan sebelum nama kami disahkan oleh pihak kampus dan dihantar ke cawangan masing2.

Awal November saya dan beberapa orang dihantar ke Iskandariah dengan pelajar baru negeri lain. Bukan semua orang diterima masuk ke cawangan dan kuliah yang diminta. Ada kawan yang mintak Iskandariah tapi dapat Kaherah, minta kuliah Usuluddin dapat Syariah. Tapi semua ni tinggal kenangan je la. Sekarang semua pelajar baru dipusatkan di Kaherah sahaja. Berhimpit la korang macam sardin kat kuliah tu...huhu.

Waktu sampai tu kuliah kami dah rancak berjalan. Sebulan lagi dah nak exam tapi kami baru sampai dan kitab belum keluar. Cemas dibuatnya. Sebelum ni cuma dengar cerita abang yang kitab keluar lambat, ni baru rasa sendiri macam mana cuaknya. Hari-hari pergi kuliah cuma tadah telinga dengar syarahan dalam loghat pasar yang sepatah habuk pun tak dapat difahami. Paling rajin pun salin nota dari kawan-kawan arab yang tulisannya pun cantik sangat. Bila kitab keluar dan buat semakan dengan nota, berlambak salah sebab xpaham apa yang arab tulis.

Kejutan Budaya

Yang paling buat kami jakun di tahun pertama ni ialah perangai budak-arab di kuliah. Satu pemandangan baru bila kita tengok orang berjalan atas meja macam jalan atas lantai, dengar Pensyarah maki dengan gelaran himar dan anjing. huhu. Arab yang baru habis sekolah menengah memang kalah perangai budak sekolah rendah kat Malaysia. Belum kira diorang punya kerumun kat pelajar kita. Tapi macamana pun diorang memang baik-baik. Kasar diorang sesama Misri je. Kalau wafidaat (pelajar luar) kena usik diorang marah. Kalau nampak budak Malaysia macam konfius selalu ada je yang nak tolong terjemah walaupun cakap macam itik dengan kucing. Cerita kami pada tahun satu tak habis-habis tentang perangai budak arab di kuliah. Memang seronok dan takjub ditonton :)

Waktu masih baru ni, senior punya pesanan pun macam-macam. Jangan tunjuk duit banyak. Arab boleh bau duit. Sampai sini, tiga hari jangan mandi. Bagi badan biasa dulu dengan cuaca. Baru sampai dari Malaysia jangan keluar rumah selama tiga hari. Kena kuarantin. Pantang makanan pun aneh2. Itu berangin. Ini berangin. Buah itu panas. Buah ini berangin. Huhu. Lastly saya pun kompius apa benda yang diorang makan kat Mesir ni. Bukan nak pandang sebelah mata nasihat2 tu. Memang sesetengah orang tak serasi dengan cuaca dan makanan Mesir. Cuma saya rasa sebahagian besar orang mempercayainya dengan keterlaluan sampai mengenepikan fakta sains. Hurm...payah la nak survive kat luar negara kalau gitu. Ni kat negara Muslimin boleh la demand macam-macam. Bayangkan kalau duduk kat Jepun Rusia yang payah nak cari makanan halal nuu....maunya rumput pun dimakan takde kira angin2 dah.

Generasi belakang ni bila datang ramai pelajar perubatan ke Mesir baru la jarang kedengaran lagi pantang2 aneh dahulu kala.

Peperiksaan pertama di Al-Azhar As-Syarif

Suasana persediaan sebelum memasuki dewan kuliah.

Dah setahun saya tinggalkan dewan peperiksaan sejak tamat kuliah Usuluddin di MANHAL. Alhamdulillah peperiksaan tahun pertama dapat dilalui dengan jayanya. Dah tak ada la mumtaz berderet macam di kolej dulu kan.... Dapat lulus tanpa bawa subjek pun rasa syukur berbanding kawan-kawan yang belum diizinkan Allah untuk naik ke tahun dua.

Nak ambik keputusan periksa pun satu cerita. Disebabkan kampus Iskandariah mengalami masalah teknikal, result tahun satu saya ambil dari kampus pusat di Kaherah. Melayan kerenah makcik arab yang sibuk mintak duit buat saya tak selera nak ambil keputusan dan pergi macam tu je. Bila tengok saya tak layan tahu pulak dia nak baling dari tingkat atas. Huhu sedih kot, 1st exam natijah dah kena baling2 gitu. Memang gitu la SESETENGAH perangai arab terdesak ni. Miskin punya pasal dah tak rasa malu nak pau mintak duit pelajar. Buat tak reti je la.

Balik kampung!

Kampung yang dimaksudkan ialah rumah negeri di Kaherah. Sebaik tamat peperiksaan, pelajar baru macam kami biasanya memilih untuk pergi ke Kaherah bercuti dengan rakan senegeri. Mereka orang pertama yang kami jumpa sebaik tiba di Mesir. Terasa lebih dekat di hati bagai keluarga sendiri. Cia ciaa..

Waktu cuti semester biasanya akan berlangsung banyak program menarik di Kaherah. Antara program tahunan ialah bazaar, iaitu aktiviti jualan makanan sesama pelajar di rumah negeri. Contohnya bila ada bazaar Kelantan, semua negeri akan ke Rumah Kelantan mengunjungi bazaar. Itulah masanya hendak merasa masakan asli negeri lain. Peniaga dari kalangan pelajar sendiri yang mahir memasak dan berlumba-lumba menonjolkan menu istimewa negeri mereka. Best!

Satu lagi pogram wajib ialah sambutan kemerdekaan Malaysia yang dianjurkan oleh PMRAM. Sambutan sangatlah meriah dengan gabungan pelbagai acara seperti bazaar, sukan, persembahan seni, aktiviti kerohanian, pameran dan lain-lain. Pada tahun pertama ni saya sangat aktif menjadi penggerak dan peserta program hingga tidur pun tak tentu masa. Pulun habis! Haha.. Waktu muda dan sihat inilah nak bergerak secara optimum kan.

Lepas setahun menjalani kehidupan budak nerd, tahun dua saya menjadi orang lain yang tak diketahui.

Siapa? Nantikan ;)




Ulasan

Catat Ulasan