Bukan Saidina Ali

Madinah pasca pembunuhan Saidina Usman sangat genting. Pemberontak yang jumlahnya puluhan ribu orang masih berkeliaran mengepung bandar. Ramai para sahabat keluar mengerjakan haji, justeru para pemberontak dengan megah menjadi imam di Masjid Nabi selepas mereka tumpahkan darah sahabat Baginda yang mulia.

Khalifah Ali yang baru memegang tampuk dapat membaca suasana tidak baik. Permintaan sahabatnya Az-Zubair dan Talhah supaya menuntut darah Usman terpaksa diketepikan dahulu menimbangkan keadaan darurat yang berlaku. Para pengikut asyik mendesak. Akhirnya dua sahabat mulia tidak dapat bertahan lagi, lantas safar ke Makkah menemui Saiyidah Aisyah mengharapkan srikandi itu akan mengepalai gerakan menuntut bela.

Di Makkah mereka memutuskan perkara. Pengikut dikumpulkan. Darah Usman akan terbela di Basrah.

* * *

Kamu bukan Saidina Ali. Dan saya bukan Saiyidah Aisyah.

Tapi impian kita sama.

Takkan sama. Permisi.

Begitu sahaja dia tinggalkan lamaran tak berbalas, dua puluh lima tahun dulu. Dia bahagia hidup dengan sepi buku-buku daripada hiruk-pikuk emosi. Dunia luar berlipat-gulung begitu ganas tapi dia aman saja dalam perpustakaan besar setinggi bumbung. Dr. Aisyah Siddiqah sibuk dengan terjemahan terbarunya.

Dato’ Seri Ali meraup ubun-ubun. Seperti mahu gila, hanya Allah yang tahu. Di luar sana marhaen berhimpun dengan sepanduk, sedia melancarkan tunjuk perasaan. Mahu pilihanraya yang bersih dan adil, katanya. Pemimpinnya si putih bermata sepet lantang mengepalai. Siapa dia, siapa keluarganya bernama Lau di Singapura tiada lagi yang peduli. Semua sudah tenggelam dalam gejolak emosi. Dato’ Seri Ali cuba tak terikut sama namun jiwanya tetap galau. Biarpun sudah diserah ke tangan polis tapi mana mungkin dia berlepas diri begitu sahaja. Itu rakyatnya, itu umatnya. Mereka itu yang dia perjuangkan tanpa pengetahuan mereka sendiri.

Saat kebuntuan yang amat sangat begitu entah kenapa dia terseret dalam kenangan. Terhumban dalam, seolah-olah dia kembali ke zaman itu dengan jasad usangnya yang sekarang.

* * *

Saat gelombang mahasiswa bangkit. Dia berdiri tegak di posisinya sebagai pimpinan proksi universiti. Kelabnya adalah sayap mahasiswa bagi parti kerajaan. Di kebanyakan universiti, kelabnya dicemuh dan dicaci kerana mengamalkan sikap yang sama korup dengan kerajaan memerintah. Tapi cawangan pimpinannya berbeza. Dengan imej bersih anti-rasuah, dia mendapat dukungan padu majoriti ahli mengalahkan pimpinan kelab lawan yang menjadi hero di universiti lain. Dengan deretan kerja kebajikan dan ilmiah dihasilkan dari dana kelab, dia membina karisma dengan penuh berhemah dan semakin dipercayai untuk menggantikan ayahnya yang sedang menjawat Perdana Menteri pada masa itu.

“Ah, apa namanya parti warisan anak-beranak.” Hanya orang itu yang berani meludah mukanya.

“Ya,memang warisan anak-beranak kerana semua anak membesar dengan bayang ibu bapanya. Cumanya aku sampai ke sini dengan kudrat sendiri,bukan taburan ringgit ayahku.” Selalu dengan bangga dia menjawab begitu kepada ‘orang itu’. Pepatah arab yang berbunyi ‘Bukanlah seorang pemuda itu yang berkata- ini ayahku. Tetapi seorang pemuda itu ialah yang berkata- ini aku’ diikat kemas dalam rusuknya.

Tapi ‘orang itu’ pun peduli apa, baginya semua orang politik adalah sama, apatah lagi yang berhubungan keluarga. Setiap kali diprovok itulah ayat sama yang diludah keluar. Parti warisan anak-beranak.

Ali tercabar sungguh dengan yang seorang itu. Hinaan dan cacian kelab lawan tak setajam lembing milik orang itu. Dengan orang itu dia rasa seperti dagingnya diratah hidup-hidup. Kerana orang itu adalah adik lawannya. Tokoh siswi yang saban tahun menawan pentas anugerah. Walaupun mengasingkan diri dari gerakan abangnya tapi dia tak juga ke pihak lawan. Baginya kebenaran adalah ilmu, bukan kelab dan parti. Justeru peribadi anehnya disanjung dalam caci – oleh masyarakat yang sudah tidak boleh menerima perkataan non-partisan. Tapi bagi Ali, dalam peribadi aneh itu dia melihat satu peluang.

* * *

“Saya bersama kamu. Tapi saya mahu berjalan di laluan ini. Tak salah kan?”

“Mahu cuci tong najis bukan dengan terjun ke dalamnya.”

“Tolonglah, jangan samakannya dengon tong najis.”

“Tong najis.”

Dr. Aisyah Siddiqah menggosok tengkuk. Aduh, tiba-tiba dia kehilangan fokus. Mungkin dek lamanya berteleku dengan meja, kerusi dan komputer. Dia bingkas menuju ke jendela. Terheret mengenang cerita lama.

“Awak lihat, saya sudah sampai ke sini. Saya pasti jika saya kekalkan momentum begini, saya akan dapat ubah keadaan jadi lebih baik.”

“Kamu fikir dalam politik sebenar begitu? Kamu fikir politikus berhati manusia? Saya pasti lambat-laun kamu akan dijerat.”

“Saya percayai awak sebagai penasihat, tolonglah bersikap positif.”

“Positif saya ialah supaya kamu keluar dari tong najis itu. Cucinya dari luar.”

“Saya faham, maksud awak ialah dakwah fardi. Tapi dalam barisan itu sendiri perlu ada yang mahu membaiki. Selama ini orang letakkan semua kesalahan kepada pemerintah. Mat rempit, anak zina, arak, semua kuasa pemerintah. Sekarang saya mahu sahut seruan itu dan jadi pemerintah yang mereka kehendaki!”

Angin sepoi membuai daun-daun di luar. Dia nampak betapa damainya alam di depan sana. Namun alam dalam hatinya tiba-tiba ribut dibadai ingatan sesuatu.

Dia pusingkan tubuh menghadap orang itu. “Kamu, kerana parti kamu adalah warisan anak-beranak maka saya fikir kamu lebih tahu betapa rosak keadaannya. Saya pasti kamu tahu bagaimana pemimpin-pemimpin kamu dijerat dengan skandal-skandal yang terpaksa mereka lakukan, tapi dikekalkan dalam jawatan supaya menjadi boneka. Saya pasti kamu tahu siapa tangan sebenar yang mengatur di belakang parti kamu,bahkan di belakang belakang ayah kamu sendiri! Langsung, kamu mahu ikut dijerat dan menjadi boneka seperti mereka semua?”

“Kamu kata ayah saya boneka?”

“Seperti semua presiden Amerika,bersumpah dengan sumpah palsu. Bekerja sebagai boneka yang dibius sambil menangis dalam hati. Kamu yang berhati putih begini mungkin langsung tak sempat menjadi boneka sudah ditanam hidup-hidup.”

“Kamu sudah lebih.”

“Lebih atau kurang, saya sudah beri apa yang kamu minta. Permisi”

DSC04546

Dr. Aisyah Siddiqah pejam mata. Sangat terkenang petang itu. Petang terakhir sebelum graduasi, terakhir sebelum dia dilamar. Kemudian deringan telefon memotong kenangan. Dia tenang menjawab panggilan. Orang itu yang sudah lama terbenam dalam sejarah. Ali!

“Kamu benar, Aisyah.”

“Apa? Tong najis?”

Diam sejenak di sebelah sana.

“Kamu tahu kita sedang disepit. Bagaimana? Takkan kamu sanggup biarkan umat kamu, dan abang kamu sekali terbawa arus?”

“Arus apa yang kamu maksudkan?” Dia tahu sebenarnya. Arus tunjuk perasaan yang sedang bergulung menjadi gelombang. Abangnya pimpinan kelima selepas Mr.Lau dan taulan akrab.

“Jangan tanya. Kamu dah tahu. Kamu tahu siapa Lau itu kan? Kamu tahu apa yang mereka mahu sebenarnya di sebalik kerahan tenaga anak watan kita. Kamu tahu mereka tidak jujur. Mengapa kamu biarkan?”

“Siapa biarkan? Bukankah kamu yang biar ketidak-adilan berleluasa dalam barisan kamu, makanya terlahir keadaan seperti ini?”

“Kalau semuanya dalam tangan saya sendiri, kamu tahu ini takkan terjadi”

“Itu kamu yang dua puluh lima tahun dulu. Kamu yang sekarang politikus biasa sahaja.”

“Baiklah, walau siapa jua saya kamu tahu saya terpaksa untuk berada di sini. Sekarang saya perlu bantuan kamu Aisyah, satukan semula umat kita.”

Dia diam sejenak.

“Itu tugas kamu. Kamu yang mencetuskan keadaan ini maka hanya kamu yang dapat hentikannya.”

“Ya. Saya tahu bahagian saya. Tapi saya mohon kamu, sedarkan mereka yang keliru. Mereka yang tidak tahu di belakang siapa mereka berdiri!”

* * *

Rakyat yang naif… kalaulah mereka tahu apa yang berlaku sebenarnya kepada pimpinan mereka. Dato’ Seri Ali genggam telefon kemas-kemas. Kesal.

Dua puluh lima tahun dulu. Kerana cabaran Aisyah Siddiqah, dia cuba bertahan di pentas politik. Dia tidak mahu dikambus hidup-hidup bak kata si pujaan hati namun akhirnya terpaksa akur sebagai boneka. Wajahnya tersenyum di kerusi TPM tapi siapa tahu tangisannya dalam kelambu. Berapa banyak wang rasuah yang akhirnya terpaksa ditelan demi mempertahankan jawatan. Berapa banyak airmata rakyat yang ditumpahkan demi mendaki ke puncak. Berapa banyak amanah yang dikhianati demi menjadi PM. Impiannya bila sudah menjadi PM segala hutang akan dilunaskan. Dia akan tunjuk wajah sebenarnya. Dia mahu ubah segala, batalkan projek yang merugikan rakyat, memotong elaun-elaun terlampau, mengerah segala jentera yang ada untuk melaksanakan amar-ma’ruf nahi mungkar. Biar terpempan pihak-pihak yang menjadikan dia boneka. Biar mereka tahu anak watan ini masih penyembah Tuhan, bukan wang dan syaitan!

Tapi itu hanya tinggal cita-cita. Dia tahu rancangannya akan gagal, kerana ‘pihak’ yang jahat itu sudah menyusup ke sebelah sana. Menyamar menjadi pembangkang untuk melagakan sesama muslim. Sedangkan dia tahu siapa ‘mereka’ yang membangkang itu. ‘Mereka’ adalah orang yang sama yang menjamin kedudukannya takkan terjejas jika kerajaan tumbang!

* * *

“Aisyah, hanya kamu yang boleh betulkan abang kamu. Suruh dia keluar dari rancangan itu. Dia tidak tahu siapa mereka.”

“Saya tak boleh.”

“Aisyah, kamu jangan lupa peranan srikandi idola kamu ketika zamannya dilanda fitnah.”

“Tapi saya bukan dia. Saya takkan campur perkara ni.”

Ali ketap bibir.

“Baiklah, jika kamu pilih untuk menjadi Ibnu Umar saya tiada hak menghalang….”

Aisyah Siddiqah kelu.

“Saya akan jadi Ali dan hentikan semua ni.”

Nada yakin yang pertama kali didengar sejak 25 tahun berlalu. Namun dia tak yakin. Apa yang Ali boleh lakukan dengan bersendirian? Dia pasti perbualan telefon mereka itu pun sudah dipintas.

“Khalifah Ali dengan para sahabat yang ramai tetap jua terjebak dalam fitnah. Kamu yang berseorangan ini apa boleh buat?”

“Beri hak mereka. Benarkan mereka berdemo dengan aman. Saya sendiri akan turun mendengar permintaan mereka pada hari itu nanti.”

“Terlalu mulus. Saya kagum jika ‘mereka’ akan biar kamu berdamai dengan rakyat”

“Kerana saya bukan Khalifah Ali, jadi kamu tunggu dan lihat.”

Dr. Aisyah Siddiqah kehabisan kata. “Ali,”

Dato’ Seri Ali tak jadi meletak telefon. “Ya?”

“Ali, taubatlah. Hanya Allah yang dapat menolong kita semua.”

Taubat. Tak semena-mena bertakung air di tubir mata. Hatinya bagai ditusuk sembilu.

“Terima kasih. Assalamualaikum” Dia letak telefon dengan azam. Namun bagi boneka seperti dia, keazaman hanyalah satu mimpi indah.

* * *

Mendengar para sahabatnya bergerak ke Basrah, Khalifah Ali dipujuk supaya ikut sama berangkat. Langsung tiada niat berperang melainkan al-Islah bainal mu’minin. Para pemberontak sebahagian menyusup masuk dalam barisannya. Sebahagian lagi awal-awal sudah menyelinap bersama rombongan Az-Zubair dan Talhah. Di Basrah dua pasukan bertemu. Musyawarah lalu sebulat suara bersedia menyokong apa jua tindakan Khalifah Ali. Hari yang diberkati itu berakhir dengan damai. Rombongan berehat dan sedia berangkat pulang ke Madinah keesokan hari.

Namun tanpa disedari, ada pihak yang panas hati melihat perdamaian. Pengkhianat dalam dua pasukan sepanjang malam mengatur rancangan. Dalam gelap subuh mereka mencetuskan kekecohan, lalu terjadilah fitnah yang tak terelakkan. Khalifah menyangka dikhianati para sahabat. Az-Zubair dan Talhah menyangka dikhianati Khalifah. Berbunuhanlah mereka sesama muslim dalam gelap pagi. Hingga fajar menyinsing barulah semua jelas duduk perkara, namun sudah terlambat kerana Talhah dan Az-Zubair sudah dijemput pergi. Saiyidah Aisyah nyaris terbunuh, namun untanya menjadi galang ganti.

Perang Jamal. Fitnah pertama yang menumpahkan darah sesama mukmin. Lantaran tidak diambil iktibar ia langsung berulang zaman demi zaman. Yang bahagia tetaplah pihak ketiga, ketawa melihat kucing sama kucing saling bercakaran.

* * *

Dr. Aisyah Siddiqah terpempan membaca akhbar keesokan harinya – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Muhammad Ali Zulfiqar meninggal dunia di pejabatnya malam tadi akibat serangan jantung.

Mereka hentikan dia dengan maut. Arahannya supaya perhimpunan dibenarkan berjalan dengan aman ditarik semula. Memang pihak ketiga takkan berpuas hati jika melihat umat ini berdamai.

Demonstrasi berjalan seperti diduga. Pihak ketiga yang menyelinap di barisan penunjuk perasaan licik mencipta huru-hara. Polis dengan arahan pihak atasan terpaksa memukul dan menggunakan kekerasan terhadap anak bangsa tercinta. Marhaen yang naif bagai dirasuk melawan pula dengan apa yang ada. Kecoh dan ribut. Pemimpin mati akal, saat itu baru insaf melihat anak bangsa bercakaran sesama sendiri. Di bilik 666 hotel Burj Dubai, dari pancaran tv satelit Datuk Lau tersenyum bangga melihat cucunya Lau Jr. sedang berlakon dengan begitu jadi. Ais dalam gelas araknya digoncang riang. Sambil menjeling rakan sekutu yang berselubung hitam dia bergumam,

“Our New World Order…..coming next”

* * *

“Pejuang sebenar takkan sempat berfikir tentang kahwin.”

Terdengar-dengar suara dua puluh lima tahun dulu, dia menolak lamaran yang datang selepas majlis graduasi. “Maaf, saya belum sedia.”

Muhammad Ali Zulfiqar, tokoh siswa berkarisma tunduk kecewa.

“Kalau macam tu saya akan tunggu…..bagi saya Aisyah hanya untuk Muhammad.”

Janji itu terpatri hingga ajal menjemput. Dato’ Seri Muhammad Ali Zulfiqar membujang ke akhir hayat. Dr. Aisyah Siddiqah menyapu nisan yang comot dek tanah merah. Menatap sepotong nama si mati dengan sayu meruap-ruap.

“Ali, hari ini saya tinggalkan buku-buku. Saya sambut pedang yang kamu tinggalkan. Sampai bertemu lagi.”

TAMAT

Ulasan