Pornografi: Dugaan Generasi Y
Golongan muda di zaman moden ini menikmati kemudahan
teknologi komunikasi yang begitu menakjubkan. Daripada asal telefon bimbit
sebesar beg kerja yang perlu dijinjing ke sana-sini, kini iPad dan telefon
pintar memungkinkan komunikasi berlangsung dengan satu sentuhan sahaja. Di
samping manfaat yang diperolehi, jaringan komunikasi tanpa batasan juga telah
membuka pintu kepada sebaran penyakit sosial yang menghancurkan, antaranya
ialah pornografi.
Pornografi
- istilah yang digunakan untuk sebarang paparan lucah dan cenderung ke arah perlakuan
seksual. Bahan ini disebarkan dengan begitu meluas oleh media tanpa
mempedulikan adat budaya dan batas agama. Jika dua puluh tahun dulu perkara
seksual adalah tabu dan terlindung dari masyarakat, kini anak-anak sekolah
rendah pun sudah didapati melakukan hubungan terlarang. Belum lagi dikira
jumlah kes pembuangan bayi, kecurangan pasangan dan kehancuran institusi
keluarga akibat pornografi. Perkara ini amat membimbangkan. Jika tidak dibendung,
ia bakal memusnahkan struktur social masyarakat muslim di Malaysia. Ibarat
tikus melubangi empangan, lambat-laun empangan akan pecah dan mengundang
malapetaka.
Jika hendak
menuding jari mencari salah, pelbagai pihak boleh dipersalahkan hingga kitarannya
berpanjangan. Kesimpulannya, penyebaran pornografi adalah plot terancang yang
dijalankan suatu pihak untuk merosakkan penduduk dunia, khususnya yang muslim.
Jadi langkah yang sepatutnya diambil ialah individu sendiri perlu merasa
bertanggungjawab melindungi dirinya dari pornografi. Namun usaha menjauhinya
bukanlah mudah. Ini kerana pornografi amat berkait rapat dengan fitrah manusia
yang ingin melakukan hubungan jenis. Hanya dengan sedikit pendedahan sahaja
manusia akan mula tertarik mendekatinya, terutamanya golongan lelaki.
Allah SWT
sudah menerangkan perkara ini dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu
hampiri zina…”. Allah tidak berkata ‘jangan lakukan’. Kerana manusia boleh saja
melakukan perbuatan ‘ringan-ringan’ tetapi tidak melakukan zina yang
sebenarnya. Sebaliknya Allah melarang lebih awal dari itu dengan berkata,
‘jangan hampir’. Kerana, apabila manusia menghampiri perangkap zina – seperti
pornografi dan pergaulan liar – mereka tidak mampu berpatah balik kerana
kuatnya tarikan nafsu terhadap perkara tersebut. Bererti segala pintu yang
menuju ke arah zina mesti ditutup serapatnya; baik hubungan liar antara
jantina, percakapan dan perbuatan yang tidak sesuai, mahupun paparan media
bermesej lucah.
Orang
Melayu biasanya akan berkias apabila menyebut perkara seksual. Istilah ‘Kelapa
ditebuk tupai’ adalah contoh untuk mengaburi perlakuan seksual yang telah
berlaku sebelum nikah. Ini untuk menjauhkan fikiran pendengar dari membayangkan
perkara lucah terutamanya golongan yang belum berkahwin. Budaya yang sangat
manis ini sangat menepati arahan Allah SWT supaya manusia menjauhi zina. Ia
patut dihidupkan semula terutamanya oleh pihak media, sebagai salah satu usaha
mengekang penyebaran pornografi.
Antara
usaha yang patut dipergiatkan ialah melarang penggunaan telefon pintar kepada
anak-anak di bawah umur. Penggunaan telefon pintar di kalangan kanak-kanak dan
remaja sudah terbukti mengakibatkan kemurungan, hilang tumpuan terhadap
pelajaran dan menjadi sebab utama mereka terdedah kepada pornografi. Ini kerana
mereka belum matang untuk menilai perkara yang baik dan buruk, justeru mereka
belum bersedia untuk didedahkan kepada jaringan komunikasi tanpa batasan.
Cukuplah mereka mempelajari internet melalui computer sahaja. Ia lebih mudah
dikawal dan dipantau.
Langkah terpenting
ialah ibubapa perlu membekali anak-anak dengan didikan agama sebagai pedang dan
perisai mereka menghadapi dugaan pornografi. Ibubapa tidak selamanya dapat
memantau anak-anak. Dengan keimanan dan ketaqwaan yang disuntik ke dalam jiwa
mereka, insya-Allah mereka mampu menjaga diri sendiri dari terjatuh ke jurang
pornografi dan zina. Sekurang-kurangnya dengan didikan agama yang mantap,
anak-anak akan bijak memilih lingkungan social yang bersesuaian dengan jiwa dan
amalan agamanya. Kawan-kawan yang baik adalah ‘talian hayat’ terkuat yang dapat
melindungi remaja dari terjerumus ke lubang dosa. Apabila mereka sibuk dengan
aktiviti bermanfaat dan saling mengambil berat, secara tak langsung mereka akan
terhindar dari pornografi dan lain-lain penyakit social yang sewaktu dengannya.
Ulasan
Catat Ulasan