Mengembara Dengan Warga Emas.
Saya bertuah dikurniakan ibu yang sudi meneman berjalan ke mana saja. Alhamdulillah.
Sama ada perjalanan dirancang atau tidak, ibu layankan angin anak dia ni.
Dulu cuma ke masjid atau mall. Lepas tu jauh sikit.. Ke Sekinchan, ke Lumut. Sudahnya sampai Cameron Highland saya hangkut. Terima kasih ibu!
Taman Agroteknologi MARDI. |
Mengembara dengan warga emas ni bukan mudah. Mereka ada keperluan tertentu mengikut tahap kesihatan diri. Tapi rasa gembira dan bahagia dengan kehadiran orang tua ni amat berbaloi. Sebab tu kena bijaklah buat timbang tara sewaktu merancang perjalanan.
Apa keperluan orang tua ni biasanya?
1. TANDAS
Sesetengah warga emas alami kesukaran mengawal kencing. Terutamanya ibu-ibu, mungkin ada urat yang cedera masa lahirkan kita. Kesannya mereka hadapi bila dah tua. Kesian kan.. Kita pun mungkin akan hadapi satu masa nanti. Jadi perlu sangat-sangat pentingkan keperluan tandas waktu bawa orang tua berjalan. Pastikan tempat yang kita nak pergi tu ada tandas yang selesa. Biasanya orang tua ni guna tandas duduklah. Begitu juga laluan yang digunakan, ada kemudahan tandas di tepi jalan.
Perkara ni yang mula-mula saya biasakan waktu berjalan dengan ibu. Cari tandas di lokasi. Dalam perjalanan pula selalu tanya kalau ibu nak singgah tandas di stesyen minyak/R&R.
Pertama kali datang pantai Floria, tak tahu tandasnya jauh di tengah-tengah taman. Kesian ibu kena menapak. Nak sewa basikal roda tiga tu tak buka pula. |
2. MUSOLLA
Dalam perjalanan jauh, mesti kita perlu berhenti untuk solat. Biasanya warga emas ni kaki mereka dah tak sekuat orang muda. Lebih-lebih lagi jika berbadan besar, lagi beban mereka nak bawa badan. Cari tempat solat yang berjarak dekat antara pintu masuk-tandas-ruang solat.
Amalan kami sekeluarga, bila pergi mana-mana mesti singgah masjidnya. Sejak dulu ayah (semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya) tak berenggang dengan masjid walau ke mana dia pergi. Dengan kami sekalilah ikut. Tapi sejak ibu dah tak kuat nak menapak jauh, kami singgah solat di stesyen minyak saja. Parking, tandas dan surau beberapa langkah je.
Ziarah pertama kali ke Masjid Sendayan. Bagus masjid ni ada lif ke dewan solat, dan dekat tandas OKU. |
3. PERGERAKAN
Macam yang disebut tadi, kudrat warga emas dah tak segagah orang muda. Sesetengah penjaga kurang sabar dan tinggal je orang tua berjalan seorang diri di belakang. Ya, kita yang masih kuat mungkin susah nak faham situasi mereka. Bayangkan je la keadaan kita kalau demam, badan lemah tak larat jalan. Gitulah..
Berjalan dengan warga emas, perlu fikirkan pergerakan mereka dari turun kenderaan ke lokasi dituju. Boleh ke mereka berjalan dari tempat parkir? Atau boleh turunkan mereka di pintu masuk bangunan? Atau perlu kerusi roda/kenderaan lain digunakan di lokasi? Atau perlu tongkat? Kalau bangunan tinggi ada lif tak?
Setengah tempat macam mall, saya biasa turunkan ibu di pintu masuk barulah cari parking. Ibu pula berjalan dengan sokongan troli barang. Dapatlah bersenam juga walaupun dalam air-cond. Kurang bergerak pun tak bagus. Di tempat yang sediakan wheelchair macam Avillion Port Dickson, saya tolak ibu naik wheelchair untuk bergerak dalam kawasan hotel.
Kalau sekadar berjalan ambil angin pagi-pagi, angkutlah kerusi ringan kat rumah tu. Bila ibu penat berjalan, boleh duduk kat mana-mana tak payah harap kerusi awam. Setengah tempat tak sediakan kerusi.
Melawat ladang teh Bharat di Cameron. Ibu naik buggy. Saya naik kaki. |
4. MAKANAN
Warga emas ni gigi mereka dah mula gugur. Sesetengahnya pakai gigi palsu, dapatlah makan macam biasa. Ada yang tak pakai gigi palsu, mereka perlu kunyah pelan-pelan untuk jaga saki-baki gigi yang ada. Ada pula yang tak dapat pakai gigi palsu, terpaksa mengunyah dengan gusi saja. Mereka perlu makanan yang lembut dan betul-betul empuk.
Bila pergi makan dengan ibu, biasanya kami makan sup-sup. Jika makan nasi berlauk, cari lauk yang lembut macam gulai ikan merah/tenggiri ke. Sayur tu bayam atau kangkung, pilih yang daun-daun saja. Batangnya tinggal kasi orang lain. Haha!
Masa ibu sakit gigi tak boleh kunyah haritu, kami tapaw bubur je dari rumah. Pergi picnic makan bubur pun sedap...apedehal.
Di hotel kadang susah nak keluar tapaw makanan. Panggil room service aje asalkan ibu tak lapar menunggu. Tengok tu nak tertido dah.. |
5. PAKAIAN
Warga emas ni suhu badannya lebih dingin dari kita yang muda berdarah panas. Ada yang kakinya cepat lenguh kena aircond. Ada yang tidurnya kena pakai stokin atau baju ekstra. Jika tak bawa dari rumah, pastikan dapat cari ganti di tempat yang kita pergi. Kesianlah kalau warga emas tak selesa dengan pakaiannya, nak berjalan pun tak seronok.
Dalam kereta saya sentiasa ada beg telekung dan selendang ibu untuk tutup selimut kaki. Bila berjalan jauh tu duduk lama dalam aircond, lutut boleh jem.
Tak sangka cuaca Cameron sejuk. Sampai-sampai terus belikan ibu cardigan buat lapis baju. |
6. KENDERAAN
Yaa...kenderaan pun kena selesa untuk warga emas berjalan jauh. Kita yang muda pun tak selesa duduk lama-lama berlipat dalam kereta. Inikan pula orang tua. Tanya orang tua kita, bagaimana yang mereka selesa nak duduk dalam kereta? Perlu ruang nak luruskan kaki? Kalau lapar boleh nak makan-makan dalam kereta? Kalau tingkap tak ada tinted, perlu ke pasang pelindung matahari?
Beberapa tahun lepas saya bawa ibu ayah berjalan ke Temerloh, kami sewa kereta proton Saga. Sebab masa tu pakai Atos comel je. Sakit pula kaki ayah nak duduk lama dalam tu. Kenalah sewa kereta lain supaya selesa.
Balik dari Sekinchan, kopi ibu tertumpah kat seat belakang. Terbang seratus kos cuci. Tapi tak serik pun nak makan dalam kereta. Asalkan ibu happy. |
7. PENGINAPAN
Mestilah cari yang cukup keperluan asas. Pertamanya jika bilik/unit tu di aras tinggi, kenalah ada lif. Tandas mestilah di dalam. Ada bilik sewa yang tandas kongsi di luar tu memanglah tak sesuai untuk warga emas. Saiz katilnya pastikan bersesuaian. Ruang solat. Kemudahan air panas di tandas dan untuk minum. Aircond/kipas dan tingkap untuk pengaliran udara.
Di Malaysia ni kemudahan bilik sewa rata-ratanya mesra warga emas. Nak lebih pasti, boleh baca reviu pengunjung di laman web hotel atau Google Map. Bila saya bermalam dengan ibu di luar, cari yang aras lantai/groundfloor je. Kemudahan asas lain biasanya dah tersedia.
Bermalam di Kuala Klawang tak dirancang. Cari di Google Map dapatlah Nafisa Homestay yang murah, luas dan selesa ni.. Alhamdulillah. |
Sesetengah warga emas yang kurang sihat, mereka ada ubatan rutin perlu dimakan setiap hari. Jika bawa mereka berjalan pastikan ubat-ubatan dibawa sama mengikut jumlah hari tinggalkan rumah, atau dapatkan di lokasi yang dituju. Ubat ni jangan main-main, sesetengah keadaan boleh membahayakan nyawa orang tua yang kita sayangi.
Kat Cameron haritu pergi farmasi beli koyok.. Standby kot ibu sakit kaki banyak berjalan. Benda simple macam tu kadang kita rasa tak penting. Orang tua pulak menahan diam-diam je, tak nak susahkan kita.
9. AKTIVITI
Ni juga penting. Bawa warga emas mengembara, mesti adakan aktiviti yang sesuai untuk mereka. Takkan nak biar mereka termenung saja sambil kita bergembira? Tak patut!
Aktiviti warga emas ni ringan je, bersesuaian dengan fizikal dan stamina mereka. Pergi sungai/pantai/kolam air panas, pimpin dan temani jika mereka hendak turun mandi. Jika memang mereka dapat duduk saja, sediakan buku bacaan atau buku permainan kata buat isi masa lapang.
Ibu saya ada buku mewarna dan cari objek tersembunyi. Haa bukan budak je yang guna buku-buku macam tu ya. Untuk orang tua pun bagus bagi rangsang otak mereka dan hindarkan nyanyuk. Baca Al-Quran lagilah terbaik. Tapi ibu saya baca Quran di henfon je.. dah jarang bawa mushaf pergi berjalan.
Kalau pergi ke pantai, ibu suka nak tanam kakinya dalam pasir. Kalau pergi taman, ibu sibuk menggambar sana-sini. Yang penting pergi mana-mana ada la aktiviti untuk ibu.
Ibu membaca sambil saya berendam di Blue Lagoon. |
Pendek kata, kenal pasti keperluan orang tua kita dan cari/sediakan keperluannya dalam percutian. Macam masa kecil dulu emak ayah sediakan segalanya untuk kita, sekarang masanya kita buat perkara yang sama untuk mereka.
Tapi sebenarnya, perlu ke bawa warga emas berjalan ni? Tak ke leceh..
Saya teringat masa mendaki gunung Sinai di Mesir, waktu kami termengah-mengah nak naik ke puncak, ada seorang nenek omputeh rileks je turun dengan tongkat dia. Rambut putih, badan kurus dan masih tegak walaupun tak tegap mana. Saya jangka dia dari Eropah. Kagum betul dengan kesihatan warga emas diorang. Dah tua masih mampu mendaki gunung tinggi.
So, bagi saya mengembara ni aktiviti menyihatkan bagi semua peringkat umur. Pergi ke tempat yang udara bersih, pemandangan indah, lihat suasana baru, semua tu bagus untuk minda, jasad dan rohani. Lebih untung kita zaman ni banyak kemudahan untuk warga emas. Gunalah sebaiknya untuk eratkan hubungan dengan ibu bapa yang kita sayangi! Moga-moga orang tua kita terus sihat dan dapat beribadah dengan gembira ke akhir hayat mereka. Amiin.
Masa PKP kita berjalan dalam daerah sendiri je. Agrotek Garden Resort, Hulu Langat. |
Ulasan
Catat Ulasan