Bertamu Ke Rumah Arab 1

Arab Mesir walaupun terkenal lebih keras berbanding Arab di negara lain namun identiti mereka sebagai bangsa yang menghormati tetamu tetap terpelihara. Sepanjang menetap di Iskandariah ini saya pernah beberapa kali merasai pengalaman bertamu ke rumah Arab atas jemputan mereka dan kunjungan paling kerap ialah ke rumah tuan rumah kami sendiri yang terletak berdekatan.

Baba dan Mama

Baba Ahmad dan Mama Tahani, pasangan suami-isteri yang baik hati dan melayan kami tak ubah seperti anak-anak sendiri. Setiap kali tiba Aidilfitri dan Aidiladha, kunjungan ke rumah mereka adalah agenda wajib. Bukan itu sahaja, pada bulan Ramadhan juga pasti kami dijemput berbuka puasa di rumah mereka. Melalui kunjungan begini sedikit sebanyak kami dapat mengetahui budaya dan cara pemakanan mereka yang berbeza dengan kita di Malaysia.

Contohnya amalan mereka yang tidak meminum air ketika makan. Mulanya agak susah bagi kami kerana Mama langsung tidak menghidangkan air di meja makan melainkan sup. Selepas itu pada kunjungan lain kami bawa air masak sendiri dan Mama pula menyediakan sedikit jus sekadar buat pembasah tekak. Kebiasaan lain mereka ialah meminum air paip mentah-mentah. Oleh sebab itu kami tidak akan minta air kosong bila bertamu kerana air kosong mereka ialah air paip. Selain itu bila bertamu ke rumah Arab, janganlah buat-buat kenyang atau tak selera. Kerana bagi mereka, hidangan yang tidak habis dijamah adalah keaiban pada tuan rumah. Makanlah biarpun hidangan terlalu banyak atau terlalu pelik yang tak boleh ditelan. Kena makan juga!


Bagaimanapun setakat beberapa kunjungan ke rumah Mama dan Baba, kami tak pernah dikecewakan. Untuk meraikan ‘perut Melayu’ kami Mama selalu menghidangkan nasi sebagai hidangan utama dengan lauk ayam panggang dan salad arab. Sampingannya ialah sup ayam atau sup tomato dan ‘kentang berlada’ yang tak pedas langsung. Inilah menu yang paling kerap Mama sediakan. Walaupun sama sahaja tapi kami tak pernah jemu menikmatinya. Masakan Mama sedap sangat!

Ramadhan baru-baru ini jamuan berbuka kami disertai sekumpulan pelajar Universiti Malaya yang datang mengambil kursus bahasa di sini. Turut bersama mereka ialah seorang pelajar dari Madrid, Sepanyol yang beragama Kristian. Jamuan bertambah meriah bila ‘anak angkat’ Mama dan Baba dari Rusia ikut serta walaupun terlewat sampai. Bila empat bangsa berlainan benua berkumpul di ruang tamu kecil Mama terasa manisnya rahmat Ramadhan dan perpaduan se-ummah.


Macam mana pun bukan semua tuan rumah sebaik Baba dan Mama kami. Yang ‘tak berapa’ pun ada juga, ikut nasib. Sebab itu sekali-sekala kami ajak juga kawan-kawan yang tinggal di rumah lain bertamu dengan kami.

Ulasan