Abu Qir - Cari Salji Terjumpa Kubu
Katanya salji turun di Tusun Basya. Ajaib, tak pernah dengar salji turun di Iskandariah ni. Dekat dengan Mandarah pula tu. Patutlah kami sejuk bukan main sampai dalam rumah pun mulut berasap-asap. Gambar daripada carian internet menambah asyik. Saya dengan terujanya pergi mencari salji. Tak tahu ke mana nak dibawa kaki, tapi hati tergerak nak naik keretapi ayam ke Abu Qir. Heret Nazneen sekali buat teman, risau pagi-pagi cuti nak naik keretapi sunyi ke hujung Iskandariah.
Dalam perjalanan, mata sentiasa menatap ke luar keretapi kot-kot dapat tengok kelibat salji. Tapi sampai ke sudah tak nampak pemandangan yang diharap-harapkan. Turun di perhentian terakhir, Abu Qir, hujan turun sedikit lebat. Masih harap dapat melihat salji di mana-mana walaupun tak tahu nak ke mana. Selepas berteduh empat-lima minit di depan mahattah, kami buat keputusan untuk meredah hujan menuju ke arah perhentian tremco. Kalau tiada apa yang menarik kami balik sajalah.
Konon nak pergi ke tremco, Nazneen ajak melencong ke pantai. Geram tengok ombak laut melambai-lambai di celah blok apartment. Kesiankan Nazneen yang jarang-jarang berada di Alex, saya turut jua melangkah ke sana meskipun angin dingin kencang menampar2 muka. Pantai pada musim sejuk dengan hujan ributnya bukanlah tempat yang menarik untuk dikunjungi. Saya dan Nazneen menapak menyusur gigi air menikmati siraman gerimis. Di tengah laut, samar-samar kelihatan kapal berlabuh dalam kabus tebal. Sampai di hujung berpagar kami keluar dari pantai dan berpatah balik ke pekan. Tak ramai orang berada di luar rumah pada waktu-waktu hujan begitu. Tiga-empat ammu yang lalu-lalang di depan kedai masing-masing memandang hairan kepada kami yang tegar ‘bersiar-siar’ di tengah hujan gerimis.
Rezeki terpijak dalam hujan
Sambil menapak, mata menangkap pemandangan sebuah tembok lama. Terletak jauh di hujung sana, ia hanya terlihat sebahagian sahaja melalui celah blok rumah yang bersusun rapat. Keadaan tembok tu tak ubah macam binaan lama yang biasa saya tengok di tapak-tapak arkeologi sekitar Iskandariah ni. Bahkan dalam peta arkeologi yang saya beli, kawasan Abu Qir ni ditandakan dengan tiga kawasan tinggalan sejarah. Adakah tembok yang saya lihat tu salah satu darinya? Dengan penuh rasa ingin tahu, saya dan Nazneen mengubah haluan ke sana. Terjingkit-jingkit meredah air lecak yang mengalir di jalan. Mesir tiada longkang. Bila hujan beginilah jadinya. Bila sampai di situ, yang ada hanyalah pagar dawai bertutup rapat siap dengan menara kawalan di hujung tembok lama.
“Apa ni Neen, tempat askar kot?” teka saya sambil memerhati menara kawalan yang dipenuhi radar di atas bumbungnya.
“Tapi kalau tempat askar selalu kan diorang letak amaran mamnu’ taswir,” balas Nazneen. Betul juga, fikir saya. Mana-mana kawasan tentera yang bersepah di seluruh Mesir ni pasti ada letak amaran larangan bergambar di luar temboknya. Tambah pula di pagar buruk hujung sana ada papan tanda lusuh bertulis : ‘Narhabu Bikum’.
Isy tak pernah pulak tengok kawasan tentera ada papan tanda selamat datang!
Kami berlegar-legar di situ hingga bertemu seorang ‘ammu berdiri kesejukan di luar kedainya.
“Ammu, wara’ jidar dah makan eih?” dah la bahasa pasar, bedal pulak lagi. Memang jadi rojak pasembor! Nasib baik ‘ammu faham. Dia kata dia tak tahu tempat apa yang kami tanya tu. Dan tak pula dia sebut pasal kem tentera.
“Hal yugad makan atsaar hena?” tanya saya kalau ada tapak bersejarah di situ. Cuba nasib kot ada rezeki lawat tapak arkeologi. Ammu kata ada! Kau jalan terus, hujung sana kau belok kiri naik atas bukit.
Macam ada lampu berkelip-kelip atas kepala. Terima kasih ‘ammu!
“Yumkin ziyarah walal la’a?” Soalan terakhir nak pastikan tempat tu boleh dilawat ke tidak. Sebab ada tapak arkeologi yang tak dibuka untuk lawatan umum. Kalau yang dibuka pula kadang tiketnya mahal. Saya cuma bawa syiling beberapa genih saja.
Ammu kata tak tahu, kau pergi situ tanyalah penjaganya boleh lawat ke tak. Aik, ammu selalu ada kat sini takkan tak tahu ada orang melawat ke tidak. Apa-apalah…. Sebelum kami beredar, seorang mama berhenti di depan kami bertiga.
“Budak-budak ni cari tempat sejarah ke?” Dia tanya ‘ammu. ‘Ammu iyakan lalu mama senyum pandang kami.
“Kami pun tak biasa pergi tempat bersejarah kat sini, cuma tengok dalam tv je,” kata mama. Ooh.. patutlah.
Kami senyum lalu beredar mengekor mama yang kebetulan sama-sama nak ke hujung jalan. Masih belum lupa tentang salji, saya tanya mama tentang khabar yang mengatakan salji turun di situ. Mama iyakan, tapi katanya salji cuma turun sikit saja pada Jumaat. Waktu kami datang tu mungkin dah cair… Sebab iklim Iskandariah asalnya memang tak bersalji. Sampai di hujung jalan, mama menunjuk ke kiri yang jalannya bercabang dua. Satu jalan tanah merah memanjat bukit, satu lagi jalan bertar yang menghala terus ke kem tentera laut dan pelabuhan.
“Tu, tempatnya atas bukit tu. Kamu naik je terus.”
Baik, terima kasih mama! ;)
Pokok unik di kaki tembok lama. |
Kami berpisah. Jalan tanah merah yang kelihatan tak terurus buat saya tertanya-tanya. ‘Amud Sawari a.k.a Pompeii’s Pillar di Karmus, tempatnya di atas bukit juga tapi terjaga baik siap dengan papan tanda menunjukkan di situ ada monumen bersejarah. Yang ni sangat mencurigakan dan mencuit rasa ingin tahu. Makin menapak ke atas, nampaklah sebuah kompleks bangunan usang yang dikepung tembok batu reput. Temboknya berlapis-lapis sangat tebal dan kelihatan kukuh walaupun batu-batanya kian terhakis. Di sebahagian tempat, dindingnya masih baik dengan cat kuning jelas kelihatan. Di bawah tembok pula terbentang parit besar memanjang hingga ke laut. Melihat senibina tingkap dan pintu besar, rasanya bangunan ni bukanlah binaan kuno zaman Greek atau Rom. Tapi apa?
Kami terlalai sejenak melihat rumput unik di tepi jalan sebelum meneruskan langkah ke depan bangunan. Masih tak jumpa papan tanda, saya mencerlung tunak penanda kecil berwarna putih di atas gerbang.
Kousa Pasha Fort.
Ini kubu perang kurun ke-18 zaman Muhammad Ali Pasha!
Kubu aneh yang sedih
Sebelah dalam tembok rupanya ada lagi parit besar mengelilingi kompleks. Di gerbang utama ada jambatan kayu yang kelihatan baru, menyeberangi parit. Wow, betul rupa istana-istana dalam cerita fairytale! Kami perhatikan parit kering yang dipenuhi rumput menghijau dan sampah-sarap. Macam-macam perkara bermain dalam benak melihat kubu aneh ni. Nampak tak terurus tapi macam ada orang tinggal. Nak kata tengah baik pulih, tak ada pulak nombor pendaftaran antikuiti. Biasanya Kementerian Antikuiti yang akan menjalankan proses baik pulih monumen bersejarah, macam Masjid Ibrahim Terbana di Manshiah.
Kesiannya kubu ni, kenapa terbiar macam ni? Boleh ke masuk tengok? Ada orang ke kat dalam? Kang kena serkap ke apa macam mana? Tiba-tiba muncul seorang pemuda tegap dari dalam gerbang. Wajahnya kusam seperti baru bangun tidur dan tidak kelihatan mesra untuk diajak berbual. Dia berjalan pulas ke arah kami yang melilau di laluan masuk. Selepas memberi salam barulah dia mengangkat muka macam baru perasan kami di situ.
“Mumkin nazuur henak?” tanya saya meminta izin, sambil takut-takut tengok muka dia. Pemuda tu angguk sekali dan tangannya isyaratkan supaya kami masuk saja. Dia terus berlalu pergi tanpa basa-basi. Kami menapak ke dalam penuh hati-hati sambil mata liar ke kiri-kanan. Haha sangat scary, tapi sangat nak tahu apakehalnya bangunan pelik ni.....
Melepasi gerbang, masih ada satu lagi tembok di sebelah dalam. Dua lapis tembok dan parit mengepung kubu - serius ni kubu perang. Tapi parit belah dalam juga dipenuhi rumput dan sampah. Apalah nasib kau kubu..... Kami tercegat sejenak memerhati sekitar kawasan dalam. Halamannya tidak seluas mana. Di belah belakang, ada dua-tiga blok usang yang kelihatan diduduki orang. Di bahagian depan pula tanah membukit naik dengan meriam besar bersusun menghala ke laut.
Wow, Ini betul-betul tapak sejarah! Kami teruja mahu ke situ tapi melihatkan seekor anjing coklat sedang duduk memerhati, hasrat saya sedikit terbantut. Mungkin ia dipelihara penghuni kubu untuk menjaga kediaman mereka yang terpencil ni. Kami ubah perhatian kepada titi-titi kayu buruk yang menyeberangi parit dalam, terus ke pintu-pintu rumah yang bercantum dengan tembok.Pengalaman baru bagiku. Tak pernah tengok tapak sejarah macam ni didiami orang. Siap ada kandang kambing lagi!
Tak lama kemudian si anjing coklat beredar naik ke bukit. Nazneen terus berlari-lari anak memanjat juga, teruja nak terkam meriam yang meniarap dengan macho di situ. Selepas bermain aci - cak dengan anjing-anjing yang rupanya ramai ‘berkawal’ di atas bukit tu, akhirnya kami ‘diizinkan’ melawat. Tak dapat nak belek semua meriam, satu pun cukuplah kami buat port bergambar.
Berdiri di puncak bukit, kami memandang ke seluruh kawasan. Baru dapat melihat jelas kawasan kubu itu. Di hadapan ialah cerun bukit dengan parit besar melintang di bawah. Parit yang kami lihat di gerbang tadi bersambung mengelilingi kubu ni. Cuma di sebelah barat nampaknya ditimbus untuk dibina penempatan awam.
Dari situ juga kami dapat lihat hampir separuh pekan Abu Qir. Kedai kami berbual dengan ammu tadi hinggalah pelabuhan di hujung sana. Jika dilihat dalam peta, Abu Qir merupakan sebuah tanjung yang terjulur keluar dari tebing laut Iskandariah. Oleh itu pantainya berada di utara dan selatan, berbeza dengan tanah besar yang pantai hanya berada di utara sahaja.
Pengajaran di sebalik lawatan
Babak seterusnya ialah Nazneen terkantoi dengan anjing. Elok2 dia duduk tiba2 semuanya bangun menghadap kami. Terus jantung berdegup kencang. Hilang selera kami nak menjelajah. Saya putuskan mahu keluar saja...tak enjoy langsung dengan perasaan cemas macam ni. Tapi usaha menyelinap keluar dari kubu pun bukan mudah sebab kawanan anjing tu beralih ke gerbang pula. Kami melilau cari kalau ada pintu keluar lain. Tak ada! Semua dikelilingi parit besar melainkan area menara kawalan yang kami nampak dari luar tadi. Takkan nak ke situ kot. Kena tembak kang.......
Cemas.. Nak minta tolong siapa? Tempat itu sunyi tiada sesiapa. Hanya kami dan tiga ekor anjing yang tengah menghadang pintu keluar satu-satunya. Nak batuk pun tak berani sebab takut ter-provoke anjing-anjing yang tengah siaga. Saya rasa macam...
Check mate. Matilah kau!
Dalam seumur hidup, itulah masanya saya paling terdesak. Tersepit antara anjing dan jurang. Hanya nampak Allah sebagai jalan keluar. Bertubi2 hati berdoa pada Allah tak tentu arah dah ayatnya.
Ya Allah, kitorang datang ziarah je.. Bukan nak buat jahat.......Ya Allah, tu anjing-anjing Kau. Tolong jangan bagi dia gigit kitorang. Ya Allah, tolong kitorang keluar dengan selamat!
Syukur sekejap saja Allah makbulkan. Sedang kami berbincang2 cari idea, kelihatan seorang lelaki berseragam hijau memerhati kami dari atas menara kawalan di hujung tembok. Askar kot, saya senyum dan lambai kepadanya supaya tak timbul curiga.
Jangan main-main dengan pasukan keselamatan Mesir weyy... Diorang bukan jahat, tapi tahap kewaspadaan mereka sangat tinggi! Mereka telah berada dalam darurat selama 30 tahun. Kalau kita buat sesuatu yg mencurigakan silap haribulan ke bawahlah... Penjara bawah tanah!
Tapi dalam masa yang sama mereka juga penghafal Qur’an. Jadi saya pilih untuk tenang, senyum dan bersangka baik dengan mereka berbanding takut.
Balasannya, askar tu lambai semula. Agaknya dia nampak kami tengah bermain police entry dengan anjing di depan gerbang. Dia pun tolong jadi instructor. Bila anjing-anjing hilang dari pandangan, si askar buat isyarat tangan supaya kami turun dari bukit. Apa lagi teruslah mencicit lari keluar. Alhamdulillah!
Sambil menyusur luar tembok menuruni bukit saya toleh ke menara. Askar tu masih di situ melihat kami. Saya lambai lagi. Terima kasih kamu. Terima kasih banyak!
Dia balas lambai dari kejauhan. Mengenangkan krisis rakyat-tentera yang berlaku sejak revolusi ni, saya rasa tersentuh dengan pertolongan askar tadi.
Askar hanyalah seorang manusia biasa... Cuma mereka pilih untuk berada di barisan pertahanan negara lalu dengan mudahnya dipergunakan oleh kuasa-kuasa politik zalim. Tak adil labelkan mereka dengan gelaran-gelaran yang jahat sedangkan mereka hanyalah insan seperti kita. Mahukan keadilan. Cintakan kedamaian. Mereka buktikan kecintaan dengan berkorban mempertahankannya. Kita ni yang hanya tahu menikmati keamanan hasil jerih payah dan berjaga malam seorang tentera, dengan enaknya meludah mereka bila mereka dipergunakan oleh tangan zalim. Tersepit antara anak watan yang dikasihi dan pimpinan yang dipatrikan taat setia, mesti diorang menahan perit di dalam hati!
Terima kasih, tentera. Jaish. Personally. Baik buruk kamu hanya Allah lah membalasnya.
Dan terima kasih Ya Allah, dengan bantuanMu kami selamat keluar....
“Terima kasih kak, bawak saya jalan,” ucap Nazneen gembira saat kami menuruni jalan tanah merah menuju ke pekan.
“Apa pulak, terima kasih kat Neen la sanggup teman akak berjalan. Kalau sorang tadi memang akak tak datang sini kot.....” balasku. Tambahan pula sekarang ni fatrah imtihan, siapalah nak merayap2 lagi waktu semua orang sibuk mengulangkaji.
Bila dah hilang takut, semua yang saspen tadi bertukar jadi bahan ketawa. Dengan buku qawaid fiqh nya dah kembang dek hujan, kami naiki tremco pulang ke Mandarah. Alhamdulillah, alhamdulillah. Walaupun tak jumpa salji tapi dapat pengajaran dari kembara singkat pagi ni. Lain yang dicari lain yang jumpa.
Bak kata orang, kita minta rama-rama tapi Allah bagi beluncas. Rupanya ada benda lebih baik yang Dia jadikan ganti kepada permintaan kita. Yang lebih besar hikmah dan ibrahnya. Kita tak tahu apa yang Tuhan sediakan untuk kita di depan sana. Yang penting harapan padaNya jangan mati, till the very end.
(Segala rasa cemas dan cuak dalam kisah ini tiada kena-mengena dengan sahabat saya Nazneen kerana beliau masih boleh ketawa riang selepas disergah anjing! Sekian.)
Fakta Kubu Kousa Pasha (Abou Kir Fort)
- Telah dibina pada kurun ke-18 Masihi.
Istilah :
Keretapi ayam - Keretapi awam dalam bandar. Dipanggil ‘keretapi ayam’ kerana Arab selamba membawak ayam-itik mereka naik keretapi ni sekali.
‘Ammu - Pakcik.
Mama - Makcik.
Mahattah - Stesyen.
Tremco - Van pengangkutan awam.
Mamnu’ taswir - Dilarang mengambil gambar.
Genih/ Junaih - Pound Mesir.
Fatrah Imtihan - Waktu peperiksaan.
Ibrah - Pengajaran.
‘Ammu, wara’ jidar dah makan eih? - Pakcik, kat sebalik tembok ni tempat apa?
Hal yugad makan atsaar hena? - Ada tak kawasan bersejarah/tapak arkeologi kat sini?
Mumkin ziyarah walal la’a? - Boleh melawat tak?
Mumkin nazuur henak? - Kitorang nak melawat boleh?
nanti kalau nak pi lagi..ajak..
BalasPadamjgn lupa..
kalau kubu tu tobat tak pegi dah kot ;)
BalasPadamassalamualaikum, bagaimana dengan perkhidmatan internet.ok tak
BalasPadamwaalaikumsalam. perkhidmatan internet di mesir sangat baik dan murah berbanding malaysia. ada macam2 plan untuk internet di handset. tanpa melanggan sebarang plan pun kita masih boleh guna internet dengan harga yg berpatutan.internet line pun laju dengan bayaran sekitar 30 pound/RM 15 sebulan :)
BalasPadam