Kehidupan Pelajar Malaysia di Mesir III - Pergi Lebih Jauh

 
Assalamualaikum w.b.t.

Saya mulakan dengan salam sebab dah lama tak update blog. Rasa macam balik kampung jumpa keluarga yang lama terpisah. Alhamdulillah sekarang dah kembali ke tanahair. Betul2 dah balik. Banyak perkara menanti di depan tapi buat masa ni Ardhul Kinanah masih dalam ingatan. Sebenarnya saya dah hilang mood nak menulis. Berkali2 hati berbisik, ‘kalau tak catatkan semua kenangan tu kau akan lupa someday!’. Tak kisah la orang baca ke tidak sume repekan saya kat sini tapi yang penting saya dah ada arkib simpanan yang boleh diselongkar bila-bila nak.

Yang buat saya nak menulis semula ialah novel Zahrah de Tigris tulisan Kak Khairyn Othman yang merakamkan kisah seorang guru sukarelawan di Iraq. Memang best novel tu. Lain dari lain. Nanti dah habis baca saya akan buat review. Nak cari di pasaran? Tak tahulah masih ada ke tidak, sebab novel ni cetakan 2007. Kalau tak, tanyalah terus ke syarikat Jemari Seni.

Balik kepada topik, saya nak mengimbau cerita saya waktu tahun ke-dua di Mesir. Tahun ke-dua ni agak sensitif dan saya tak tahu macam mana nak putarkannya dengan baik tanpa menyinggung mana-mana pihak. Bak kata Prof. Bukhari Lubis dalam bengkel semalam, “Just tell, no need to show”. Cerita je isinya tanpa merujuk mana-mana pihak. Cemana tu ye? Kang jadi cerita wayang kulit la pulak. huhu.

Tak apalah saya yakin kawan2 pembaca semua dah matang dan tak mudah melempar prejudis. Sebelum tu saya nyatakan dulu bahawa tulisan ni adalah berkenaan diri saya dan tidak mewakili seluruh pelajar Mesir yang lain. Setiap pelajar yang menuntut di Ardhul Kinanah ada ceritanya masing2 dan kisah ini cuma secebis darinya. Bimbang pulak kalau orang anggap semua budak Mesir berhidup (?) dan bersikap macam yang saya ceritakan. Tidak, tidak.

Macam yang saya pernah sentuh rambang sebelum ni, kami di Mesir ada banyak persatuan pelajar. Ada PMRAM, PERUBATAN, Kelab UMNO, ISMA, IKRAM, HALUAN, dan lain-lain yang sewaktu dengannya. Antara banyak organisasi ni ada yang mendukung fikrah dan ideologi tertentu sama ada berbau politik atau tidak. Ada pula yang berperanan sebagai pengurus pelajar sejak sebelum wujud Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) lagi.

Sebenarnya pertubuhan pelajar di Mesir memang tak dapat lari dari sentuhan fikrah dan ideologi perjuangan politik. Al-maklum lah, dah kami semua berkelana di tanah lahir Ikhwanul Muslimin. Nak tak nak mesti akan tertarik dengan idea pembangunan umat dan segala. Al-Azhar sendiri pun tidak sunyi catatan sejarah perlawanannya dengan penjajah dan sekularisme. Cuma bagaimana bentuk perjuangan Al-Azhar, bagaimana perjuangan Ikhwanul Muslimin dan di mana percanggahan & titik temu dua pihak ni saya tak berniat nak kongsikannya di sini.

Dipelawa menjadi exco BKAN.


DSC04473

BKAN ialah Badan Kebajikan Anak Negeri, iaitu persatuan pelajar negeri yang dinaungi PMRAM sebagai pertubuhan induk. Sebelum wujudnya Kedutaan Malaysia, bahkan sejak sebelum wujud Negara Malaysia lagi, pertubuhan inilah yang menyatukan anak2 Nusantara di Mesir. Cuma selepas itu bila Nusantara kita dipecahkan kepada beberapa negara, persekutuan ini ikut terpecah2. Indonesia dan lain-lain negara menubuhkan persatuan masing2 untuk memudahkan urusan.

Di bawah PMRAM ada 14 BKAN dengan asrama masing2 yang majoritinya turut diselia oleh pegawai dari Majlis Agama Islam Negeri. Macam BKAN Selangor yang berpusat di Rumah Selangor Haiyu Asyir diselia oleh pegawai Malaysia dari MAIS. BKAN Wilayah Persekutuan yang berpusat di Rumah Wilayah Haiyu Sabie’ diselia oleh pegawai dari MAIWP. Begitulah seterusnya. Setiap pegawai ni bekerjasama dengan persatuan pelajar dan pihak Kedutaan Malaysia. Bagaimana para pegawai ni menjalankan tugas pula tergantung kepada rezeki masing-masing. Ada pegawai yang lembut, ada yang terlalu tegas. Ada yang baik dengan pelajar, ada yang bergaduh dengan pelajar. Macam2. Nasiblah.

Waktu cuti musim panas tahun 2009, saya aktif menyertai aktiviti pelajar dengan BKAN Selangor. BKAN Selangor seperti kawan sekampung saya di Mesir. Biasalah bila dah senegeri, adat budaya lebih difahami walaupun kebanyakan pelajar Selangor ni berketurunan Jawa. Waktu itulah datang lamaran dari BKAN Wilayah Persekutuan (kami memanggilnya BKAWM-Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir) meminta saya menyertai mereka sebagai exco. Tak sempat fikir panjang, dengan kepala separuh mamai (dek penat ber-program) saya terima pelawaan tu.

Sebenarnya sejak dari Malaysia lagi memang saya dah niat nak terjun aktif dalam persatuan di Mesir. Sebabnya, saya terpengaruh dengan abang yang pernah menjawat jawatan YDP BKAN Wilayah. Bahkan sejak saya baru tiba di Mesir sudah ada wakil BKAN KL datang nak ambil saya ke asrama diorang atas permintaan abang. Tapi waktu tu saya tak ikut diorang sebab tengok kakak musyrifah yang menjaga saya macam bengang je orang nak ambik junior dia. So demi mengelakkan rasa tak puas hati saya terus tetap dengan Selangor. Tak sangka pula kehendak Allah menentukan saya akan berhijrah juga ke BKAN KL pada tahun berikutnya.

Unit Penerangan & Penerbitan (UPP)

Saya memang seronok bila diberi tugas mengendali UPP. Dari kecik saya memang berminat dengan buku dan penulisan, justeru bekerja dalam unit ni betul2 buat saya enjoy. Enjoy tak enjoy la kan, berliter jugak air mata tumpah sepanjang sesi. Dengan ketua saya si penulis muda yang dah biasa mengasah bakat sejak di tanahair, kami merancang pelbagai program untuk dijalankan sepanjang tahun. Ada yang berjaya dilaksanakan, banyak juga yang terbatal dan terbengkalai. Antara tugas wajib kami ialah mengeluarkan buletin untuk tatapan ahli BKAWM khususnya yang tinggal di asrama. Selain itu kami juga bertanggungjawab menyelia akaun blog dan Yahoo Messenger milik BKAWM (masa tu belum ada Tweeter dan What’s App).

pd ogos3

Selain menjalankan tugas dalam unit, kami juga terlibat dalam menyelia hal-ehwal penghuni asrama Wilayah. Kebetulan tahun kami tu hubungan dengan pihak MAIWP agak mencabar, dengan ketibaan ramai pelajar perubatan yang dihantar oleh ejen.

Maaf cakap, ejen-ejen penghantaran pelajar ni sebahagiannya (bukan semua) kurang bertanggungjawab. Dari Malaysia minta duit pengurusan beribu2, sampai di Mesir pelajar hanya dipantau dengan minimum atau lebih teruk lagi, dibiar terkontang-kanting! Mungkin diorang fikir di Mesir ada persatuan menguruskan pelajar, sebab tu selamba je nak ambik untung atas angin. Yang kami ni, tak boleh tak nak, kenalah uruskan adik-adik yang dah sampai. Takkan nak buat perangai macam ejen-ejen yang baik hati tu jugak kan.

Malangnya, ada antara ejen ni yang berlatar-belakang pertubuhan politik. So pelajar2 yang datang dengan diorang dicuci otak supaya menjauhi persatuan kerana disyaki mendukung idea politik berbeza. Masalahnya bila sampai di Mesir, bila budak tu dah terkontang-kanting, persatuan nak tolong pun susah. Inilah saya kira masalah utama yang memecah-belahkan orang Malaysia di Mesir (bahkan di tanahair juga). Dari sekecil-kecil hal hingga sebesar-besarnya bila dimasukkan perbezaan politik langsung jadi payah.
Mujur bukan semua yang berfikiran jumud macam ni. Ramailah juga (terutamanya generasi belakang ni) dah mula pandai membezakan pegangan politik dengan kesatuan muslimin. Kau UMNO, PAS, ISMA, atas pagar, sukati. yang penting kita semua solat menghadap Ka’bah, bila mati semua kena tanam, tak ada yang menentukan siapa lebih mulia melainkan TAQWA.

Ini baru kisah di permulaan saya melangkah ke tahun dua. Ada banyak lagi kisah suka-duka yang berlaku sepanjang sesi 2009-2010 berlangsung. InsyaAllah saya akan kongsikan secara ringkas dalam pos akan datang .

Jumpa lagi di Kaleidoskop Winking smile.

Ulasan