Anak 'Beli' Kawan? Aduhai!
"Alif, Ziad dan Saif jual barang kat Dirah. Dirah ambil, hutang dulu tapi sampai sekarang tak bayar. Jumlah semua dah empat ratus lebih!" cerita Ustazah Hilma tentang murid2nya yang dipanggil menghadap GB hari ini. "Diorang bertiga mengadulah nak kutip hutang."
"Banyaknya! Barang apa diambil? Dia buat apa dengan barang-barang tu?" Ustazah Zura menyoal spontan. Terkejut mendengar murid darjah lima berhutang sebanyak itu. Orang dewasa pun berfikir panjang nak mengumpul hutang begitu.
"Dari Alif, dia ambil pembaris sampai 60 batang. Harga seratus lebih. Dari Ziad dan Saif dia ambil Milo kiub, satu pek 25 ringgit. Banyak pek dia ambil tu sampai jadi empat ratus."
Ustazah Zura menggeleng. "Buat apa benda banyak2 tu?"
"Dirah kata dia jual. Tapi sebenarnya dia bagi percuma kat orang. Ramai budak dapat. Ada yang dapat pembaris sampai 6 batang," sambung Ustazah Hilma.
"Bagi percuma???"
"Ya, budak lain kata di sekolah pagi pun dia macam tu. Suka bagi barang, bagi duit kat kawan. Kadang bagi sampai puluh ringgit. Bila tanya, kata duit tabung. Simpan duit tabung sampai 1000. Masalahnya mak dia kata duit mak dia selalu hilang."
"Ya Allah..." Ustazah Zura terdiam. Dalam memorinya muncul seorang anak kecil yang pernah dikenali juga membuat perkara yang sama. Anak itu tidak berniat jahat. Hanya...
"Dirah ni macam mana budaknya?" tanya Ustazah Zura ingin kepastian.
"Dia baik je. Kat kelas pendiam. Tak nakal bising-bising. Mungkin dia dia buat tu sebab nak perhatian."
"Cuma cara dia salah."
Dua guru itu diam, saling memandang.
Bukan curi ya. Ni hadiah kenangan sahabat Arab :) |
Peristiwa ni berlaku semalam di sekolah. Bukan nama sebenar. Tapi kisahnya benar. Seorang kanak-kanak cuba membeli persahabatan. Bila diselidik, ibu bapanya orang susah. Dua-dua bekerja mencari rezeki. Mungkin itu juga jadi punca anak ini kurang perhatian, tidak pandai bergaul dan mengambil jalan singkat untuk berkawan.
Berkawan memang bukan proses mudah. Anak-anak patut diajar kemahiran berkawan sebelum dia dilepaskan memasuki masyarakat. Anak yang tiada kemahiran sosial begini akan kelihatan buruk sikapnya di mata masyarakat dan dianggap nakal, jahat, sedangkan isu sebenar ialah pendidikan sikap.
Memberi barang/hadiah kepada kawan adalah normal bila anak mahu menghargai sahabat, terutamanya yang rapat. Tapi memberi dalam jumlah yang banyak, tanpa sebarang sebab, kepada sesiapa sahaja, hingga sanggup berhutang dan menipu, anak begini perlukan pertolongan.
Mereka buat begini bukan lagi sebagai menghargai kawan rapat, tetapi untuk mendapat kasih-sayang, kemesraan, keramahan, penghargaan yang mungkin tak didapati dari orang terdekat: Ibu ayahnya.
Anak begini jangan ditanya kenapa dia buat begitu, begini. Mungkin dia sendiri tidak tahu menjelaskan perasaan dan fikirannya. Dia hanya buat mengikut kata hati. Dan jika sudah mula menipu, janganlah diharapkan pengakuan dari mulutnya.
Jauh di sudut hatinya, anak begini sebenarnya berasa takut dan rendah diri. Kurang kecerdasan emosi dan tidak dapat memikirkan cara membina hubungan. Dia terpaksa letakkan harga dirinya pada barang-barang. Selagi dia memberi, orang akan suka.
Bagaimana jika tiada barang? Tiada 'kawan'. Maka dia sanggup tipu, curi, hutang untuk kekalkan hubungan.
Cuba terjemah ke dunia dewasa. Orang begini biasanya yang meminjam Ahlong, berhutang kad kredit, menggelapkan wang, membeli penyokong.....anda sambung sendiri.
Bencana yang besar bermula dari masa kecil. Jika tidak diBANTU.
Pakar memberi beberapa cadangan langkah membantu anak2 begini:
1. Jangan marah. Simpatilah padanya. Terangkan elok2 akibat perbuatannya.
2. Berbual dengannya. Dengar ceritanya. Anak yang selesa bercerita biasanya akan terbocor perkara2 buruk yang mungkin pernah terjadi padanya.
3. Ajarkan nilai sahabat dan cara betul menjalin hubungan.
4. Ajarkan nilai harta, kegunaan harta dan usaha mendapatkan harta. Supaya dia tidak mudah menabur harta pada orang dan urusan yang tidak sepatutnya.
5. Minta dia berjanji untuk tidak ulangi dan anda juga berjanji akan beri hukuman pada masa depan. Jika dia benar2 ulangi, anda juga perlu benar2 beri hukuman yang dijanjikan supaya dia sedar anda serius mahu dia berubah.
6. Jika anda sebagai ibu bapa, jemputlah kawan-kawannya ke rumah dan kenali mereka. Sambil itu ajarkan mereka nilai2 baik yang sama yang anda ajarkan pada anak anda.
7. Jika anda sebagai guru, galakkan murid bergaul dan bertegur sapa dengan semua, bukan berkumpul sesama mereka. Kenal pasti murid yang kurang bergaul dan bantu mereka berkawan. Ingatkan selalu tentang adab berkawan seperti jangan mengejek. Sesetengah keganasan di sekolah biasanya bermula hanya kerana mengejek.
Kenangan anak2 solehah SMIAAB :) |
Kita dah lalui zaman tu. Bila berjumpa kanak-kanak bermasalah sikap, sabarlah dan simpatilah. Bukan semua anak mendapat didikan sikap yang betul dari ibu bapa. Orang luar juga perlu berperanan bantu kanak-kanak bermasalah sikap supaya mereka tidak dewasa dalam keadaan begitu dan rosakkan masyarakat.
Anda pun hadapi situasi begini? Nak tahu lebih banyak? Cuba rujuk:
Anak saya mencuri, apa nak buat?
Mengapa anak menipu dan mencuri?
Terlalu pemurah pun tak bagus untuk hubungan, tahu?
Tak ada maknanya orang nak kagum dengan harta kita...diorang berlakon je.
Ulasan
Catat Ulasan