Seronok Ke Musim Sejuk?

Bersembang dengan rakan grup tentang perubahan iklim. Ada yang teringin nak Malaysia bersalji. Kita yang duduk negara panas ni memang ada kejakunan dengan salji. Terimbau kenangan duduk negara sejuk dulu buat saya sengih sorang2 pagi ni. Hehe..

Seronok ke hidup di iklim sejuk?

Solat subuh berjemaah sebelum mendaki gunung Sinai. Januari 2011.

Mesir negara beriklim Mediterranean yang ada 4 musim. Cuma musim gugur dan musim bunga tak begitu ketara sebab tak banyak pokok nak ditengok perubahan tu. Salji pun tak ada. Masa saya di sana, salji cuma turun sekali-sekala di gunung Sinai. Ikut nasib siapa mendaki waktu tu dapatlah main salji.

Walaupun tak bersalji, musim sejuk dia tak main-main.. Negara gurun macam tu ada banyak angin pulak. Bila angin sejuk tu berhembus, huuuuuu~~~~ Dingin hingga ke tulang!

Ribut musim sejuk 2011. Berubah lanskap pantai Iskandariah yang cantik.

Iskandariah tempat mastautin saya di Mesir. Bandar pesisir pantai yang cantik dengan laut jernih membiru. Rumah-rumah di sini majoritinya flat/apartment tinggi dengan daun tingkap dua lapis. Satu lapisan dari kayu disusun berbaris untuk pengudaraan. Daun tingkap kedua belah dalam daripada kaca jernih. Mula-mula tak terfikir kenapa macam tu. Bila melalui musim demi musim barulah faham. Tingkap kayu untuk musim panas. Halang cahaya masuk tapi masih ada udara. Tingkap kaca untuk musim sejuk. Halang udara sejuk masuk tapi masih ada cahaya. Gituu...

Perubahan cuaca ni berlaku berperingkat. Bulan Julai kemuncak musim panas, bulan Ogos biasanya dan mula 'redup'. September start musim luruh, masa tu udara jadi semakin sejuk dari hari ke hari. Dia nak sedar perubahan ni bila keluar tandas rasa sejuk semacam, maknanya dah nak sejuk la tu. Lepas tu mulalah zikir "sejuknya....sejuknyaaa.." meniti di bibir. Haha.. Masa tu kulit pun mula kering bersisik. Kulit celah kuku kadang-kadang terbelah dan luka. Maka kena minum banyak air. Sebab bila udara sejuk, orang kurang minum. Jadi badan pun kering tanpa disedari.

Sabarlah kena berulang-alik ke tandas. Dahlah sejuk....trrrr~

Sejuk tapi nak gi pantai jugak. Rasakannn..
Tapi perubahan ni tak sekata setiap tahun. Kadang dah masuk November pun masih panas-panas suam lagi. Yang penting masa tu koleksi baju dah bertukar. Mula pakai baju-baju khas musim sejuk macam jaket dan sodri (صدري). Baju pun pakai berlapis-lapis. Mana beli baju sejuk ni semua? Biasanya diwarisi dari senior yang dah habis belajar, atau beli di pasar terpakai. Nak beli yang baru-baru mahal weyyyy... Pasar terpakai/bundle diorang pun boleh tahan bagus.

Senior pesan sungguh-sungguh suruh jaga badan musim sejuk ni. Sebab katanya badan Melayu bukan macam Arab.. Kita boleh jadi sakit-sakit tulang, 'masuk angin'. Rasa macam tak masuk akal. Tapi bila diperhati, memang betul sebab Arab kuat makan benda-benda panas macam rempah dan daging. Melayu ni balik-balik pun rempah kita kari, kurma.. Daging pun bukan makan selalu.

Mungkin sebab kedudukannya tepi laut, musim sejuk di Iskandariah selalu berlaku luruan angin deras. Terutamanya waktu malam. Seram dengar bunyi angin lalu celah bangunan macam enjin mengaum. Bila ada luruan angin ni, automatik kesejukan bertambah. Yang ada pemanas udara, sedaplah. Lima tahun saya kat sana tak pernah ada pemanas udara. Tak terfikir pun nak beli sebab takde siapa bagitahu benda ni penting. Haha. Selalunya buat air teh panas je la. Atau berjemur di tingkap, kalau ada matahari. Atau berjalan mundar-mandir dalam rumah untuk panaskan badan. Atau duduk bergulung je dalam telekung dan selimut. Masa tu kami hidup macam orang miskin je.. Alhamdulillah, pengalaman :)

Antara bentuk pemanas udara yang biasa diorang guna. Pinjam gambar internet.

Macam mana dengan air paip? Confirm la sejukkkk... Kalau kemuncak musim tu, airnya sejuk macam ais. Tinggal tak beku je lagi. Bila kena kulit tu tak nikmat dah tapi sakit! Serius rasa sakit kulit tu sampaikan kami ambil wudhu' laju-laju dan keluar terus lap dengan tuala. Sudahnya sampai sekarang saya jadi terbiasa lap air wudhu' ni. Huhu. Nak mandi kena masak air dua-tiga periuk tadah dalam baldi. Dapatlah mandi sekodarnya...

Contoh. Pinjam internet lagi.
Sebenarnya setiap rumah ada pemanas air. Pemanas air tu keperluan penting macam kipas di rumah-rumah Malaysia. Cuma, nasib kamilah pemanas air dah rosak dan tuan rumah taknak ganti pula. Setahun je saya sempat merasa guna pemanas air tu. Bentuknya kotak kecil macam pemanas air standard di Malaysia. Bezanya guna gas dan perlu dicucuh setiap kali nak guna. Tapi... panasnya tak terasa pun sebab air terlalu sejuk.

Ada juga pemanas air jenis tong besar. Bila habis guna satu tong tu, kena tunggu pulak la dia panas baru boleh guna.

Pemanas air jenis gas ni agak bahaya sebab berisiko keracunan. Ada pelajar Malaysia yang meninggal lemas terhidu gas pemanas air. Sebab kedudukan pemanasnya dalam tandas. Bila mandi kan tutup pintu, tingkap semua. Gas terkepung dalam tu dihidu secara tak sedar. Bahaya kan. So tak ada ke rumah yang guna pemanas elektrik kat sana? Saya pun tak tahu.. Setakat yang saya tengok masa tu semuanya gas. Mungkin lebih jimat sebab gas murah kat sana. Kebanyakan rumah ada paip gas siap pasang macam paip air.

Apa je aktiviti musim sejuk ni? Universiti mula semester baru pada September. November-Disember tu biasanya pelajar sibuk ke kuliah dan bersedia untuk imtihan bulan Januari. Nak berjalan pun ke mana je sejuk-sejuk tu? Hehe..

Ada la sekali masa di tahun akhir, saya berjalan ke hujung negeri cari salji. Perjalanan ke Abu Qir ni ada dirakam dalam tajuk lain. Hari tu sejuk betul dengan hujan renyai dan angin kuat tepi pantai Abu Qir. Gigih kami memanjat bukit nak tengok kubu lama. Member siap bawak kitab. Nak katanya tu musim periksa. Kah!

Meriam zaman perang menentang penjajahan Perancis.

Lepas imtihan biasanya ada rombongan mendaki gunung Sinai. Sinai tu kawasan gurun dan majoriti tumpuan lawatan terletak di padang pasir. Mungkin sebab tu rombongan ke Sinai jadi macam wajib dilakukan pada musim sejuk. Tapi memang pun.. Masa saya join rombongan ni dan bergambar di puncak gunung, cuaca rasa panas terik walaupun baru pukul 9 pagi. Bayangkan kalau pergi musim panas. Mau ramai pengsan.

Satu lagi destinasi yang sesuai berjalan pada musim sejuk ialah Bahriyah. Situ pun kawasan gurun dan boleh buat aktiviti luncur pasir. Masa zaman saya dulu tak ramai pelajar ke sana sebab kurang popular. Sekarang tak tahulah..


Yang seronoknya musim sejuk ni, boleh tidur lena sebab pepijat mengeram tak gigit orang. Ya, rumah sewa saya ada pepijat. Dia menggigit punyalah gatal Ya Allah... Musim sejuk makhluk ni tak aktif. So dapat tidur nyenyak tanpa terbangun menggaru2. Pepijat ni badan dia leper je. Bila kekenyangan sedut darah, dia boleh kembung macam ikan buntal! Kalau picit tu best la tengok perut dia meletup. Kejam kan. Nak buat macam mana, takkan nak bela pulak kut..

Di Mesir, kita boleh tanya suhu pada operator telefon macam kita tanya baki topup. Jadi bila musim sejuk rajin la cek berapa suhu hari ni.. Suhu paling sejuk yang saya pernah rasa di Mesir ialah 3 darjah celsius. Masa tu hari hujan ribut kuat. Duduk dalam rumah pakai snow cap, sarung tangan dan stokin tebal. Bergulung dalam selimut pun mata tak nak lena sebab sejuk sangat. Huhu.. Gitu la rumah takde pemanas kan.

Itu baru 3 darjah celsius! Kebetulan peti ais rumah kami pun meragam. Aisnya menebal kena cuci beberapa hari sekali. Setiap kali cuci peti ais tu kena raup dengan tangan sampai sakit merah-merah kulit. Dalam hati kata memang taklah aku nak main salji. Puas dah raup salji peti ais ni ha. Kikiki... Bukan merungut. Kenangan...😊

Jadi macam tu lah pengalaman saya hidup di negara tak berapa sejuk. Orang kita mungkin teruja tengok salji putih mulus. Tapi di sebalik salji tu ada banyak proses hidup yang sukar. Yang mengalami je faham keadaan tu. Saya bersyukur tinggal di khatulistiwa yang panas sepanjang tahun. Sekali-sekala nak salji tengok ajelah video sambil makan ABC!

Ulasan