Lawatan Ziarah Para Syuhada' Bahnasa
22
September 2012
Alhamdulillah
pada harijadi tahun ni diberi peluang yang tak disangka-sangka untuk menyertai
rombongan ziarah para Syuhada’ Bahnasa. Rombongan kali pertama yang dianjurkan
Syeikh Yusri sebelum ni saya terlepas peluang kerana lewat mendapat tahu
hinggalah tarikh tutup penyertaan berlalu. Kali ni Alhamdulillah, dengan ‘ahli
kelab penganggur Wilayah’ yang bertujuh kami bersama-sama menjejakkan kaki ke
sana dengan rombongan HEWI PMRAM.
Asal nama
Bahnasa ialah perkataan Arab Bahaa’un Nisaa’ (kemegahan wanita). Dinamakan
begini kerana ia menjadi tempat himpunan perempuan-perempuan cantik dari Rom
pada suatu masa dahulu. Penempatan di Bahnasa telah wujud sejak Tamadun Firaun. Sebatang sungai yang mengalir di perkampungan itu
dinamakan ‘Bahru Yusufi’ sempena nama Nabi Yusuf Alaihis Salam yang pernah
menjadi gabenor dalam kerajaan itu. Bahkan jasad Nabi Yusuf dikatakan turut
disemadikan di sekitar sungai itu walaupun tiada kesan yang membuktikan
kesahihannya.
Seperti
bandar-bandar lain di Mesir, Bahnasa turut mengalami perpindahan kuasa dari
satu dinasti ke dinasti lain yang berebut menguasai bumi bertuah ini. Selepas
berlalu Tamadun Firaun, bandar ini dikuasai pemerintah Yunani dalam satu jangka
masa sebelum jatuh ke tangan Empayar Rom. Pada waktu itu Bahnasa dikatakan
menjadi bandar ketiga terpenting di Mesir selepas Iskandariah dan Coptic Cairo.
Kemudian apabila Islam sampai ke Mesir pada zaman Khalifah Umar ibn Al-Khattab
r.a, Bahnasa menjadi saksi pertempuran hebat antara dua kuasa Timur dan Barat
ini hinggalah akhirnya ia berjaya dibebaskan dari cengkaman Rom. Dengan
terbebasnya Bahnasa, dakwah Islam pun mengalir damai menuju wilayah
selatan hingga ke Aswan dan Sudan.

PERJALANAN
KE BAHNASA
Kami
bertolak ke Bahnasa pada awal dinihari dengan menaiki dua buah bas. Seawal
subuh kami tiba di Mantiqah Syuhada’ – sebuah masjid yang bersih dengan
kompleks perkuburan yang luas mengelilinginya. Udara pagi awal musim gugur mula
terasa memamah kulit. Usai menunaikan fardhu Subuh dan bersarapan, kami
mendengar diskusi kitab Futuhat Bahnasa (Pembukaan Bahnasa) yang
disampaikan salah seorang musyrif rombongan. Walaupun mengantuk dek
perjalanan semalaman kami tahankan mata untuk mendengar supaya ziarah selepas
ini lebih bermakna dengan maklumat yang jelas.
Menjelang
waktu dhuha kami memulakan ziarah menerokai kompleks perkuburan. Perkuburan
yang luas ni dianggarkan menampung ribuan jenazah muslimin yang mendiami
sekitar pekan Bahnasa, bercampur dengan jenazah ribuan pejuang Islam yang
bersemadi di sini sejak seribu tahun lepas. Para syuhada’ ini ialah mereka yang
gugur dalam peperangan membebaskan Bahnasa dari kuasa Rom dahulu. Sebahagian
besar darinya ialah para Sahabat Nabi SAW, Tabi’en dan Tabi’ Tabi’en
radhiyAllahu anhum ajma’in. Jenazah mereka dipercayai bertebaran di seluruh
kawasan itu dalam makam yang tidak bertanda. Rasa sayu hati mendengarkan bahawa
masjid yang kami singgahi itu juga kemungkinan besar dibina di atas kubur insan-insan mulia ini.
Menjejakkan
kaki ke tanah perkuburan itu, hati merasa tenang yang tak diketahui. Terlalu
banyak makam yang kami ziarahi, antaranya ialah anak kepada Saidina Ali Zainal
Abidin RA (piut Nabi SAW), Saidina Ubaidah bin Ubadah bin Shamit RA (perawi
hadis), para ulama’ dan lain-lain yang tak dapat diingat nama mereka. Di celah-celah
makam itu saya sempat singgah berdoa di kubur seorang ulama’ Azhar yang wafat
pada 2003. Bukan doa mintak jodoh @ nombor ekor okey, tapi mendoakan semoga
guru kami ini dicucuri rahmat di persemadiannya. Macam ada satu
rasa sentimental dengan istilah ‘ulama’ Al-Azhar’. Walaupun saya tidak pernah
berguru dengan mereka tapi bagi saya semuanya adalah guru2 saya yang telah
menghidupkan universiti tempat saya tumpang menuntut ni.
Makam yang kami ziarahi sebahagiannya dibuatkan binaan menutupinya, siap dengan papan tanda Majlis Antikuiti Mesir yang menandakan makam itu adalah bahan sejarah terpelihara. Sebahagian lain walaupun tidak mempunyai papan tanda Majlis Antikuiti, tetap juga dipelihara oleh penduduk tempatan yang telah sebati dengan budaya mencintai orang soleh. Juga di perkarangan masjid terdapat sebatang pohon agam yang dikatakan menjadi tempat berteduh Saiyidah Maryam Al-Batuul dan Baginda Isa AS sewaktu persinggahan keluarga mulia ini di Mesir. Tanah perkuburan yang kami ziarahi ni, boleh la kalau nak dikatakan sebuah kampung sekalipun kerana lingkungannya yang sangat luas. Naik bukit – turun bukit - masuk kampung – keluar kampung – redah semak – harung sampah, memang satu perjalanan yang menarik untuk diingati.
Terutamanya perjalanan melalui kampung badwi moden yang terbentang di pesisir Bahru Yusufi, kami dapat berinteraksi secara langsung dengan orang kampung yang tak dapat ditemui di bandar besar seperti Kaherah. Mereka semuanya sangat mesra. Kanak-kanaknya sangat polos walaupun comot dengan lalat menghurung mata. Orang-orang tuanya peramah dan seronok bila ditala kamera. Mereka tinggal di rumah flat batu bertingkat sama seperti di lain-lain perkampungan, siap dengan lembu kambing dan lain-lain ternakan di depan pintu rumah. Di salah sebuah rumah yang kami lalui dapat dilihat longgokan buah anggur segar bergayut-gayut di anjungnya.
Lagi menarik ialah penempatan mereka ini berdiri di tapak runtuhan kota lama Tamadun Firaun dan Roman – Greek!
TINGGALAN
SEJARAH YANG DILUPAKAN
MAKAM
PUTERI BERTUJUH (SAB’U BANAAT سَبْعُ بَناتٍ)
Bukan puteri
tujuh cerita dongeng, tapi ini ialah kisah tujuh pahlawan wanita yang gugur
dalam perang pembukaan Bahnasa. Mereka ialah tujuh orang perempuan (dikatakan
adik-beradik) yang telah menyamar untuk menyertai pertempuran. Apabila semuanya
gugur syahid baru la orang tahu yang mereka bukan lelaki. Kesemuanya dimakamkan
berhampiran antara satu sama lain. Makam mereka menjadi persinggahan terakhir
kami sebelum pulang ke Kaherah. Menariknya makam ini ia terjaga cantik dalam
satu kawasan berpagar dengan empat panji-panji hijau berkibar megah
menghiasinya.
Sampai
bertemu lagi, Tuan-Tuan kami yang mulia.
Ulasan
Catat Ulasan