Senaif Taufik

Minggu ni agak mencabar bila mengajar dalam keadaan kurang sihat. Ada hari, aku senyap saja sebab tekak dan dada sakit nak bercakap. Ada hari aku menjerit juga mengalahkan waktu sihat. Ada hari, aku surrender dan keluar dari kelas. Rehatkan jiwa beberapa minit di tempat lain sebelum kembali ke kelas.

Mengajar budak kecil zaman sekarang makin mencabar sebab mereka rosak. Makanan mereka rosak. Didikan ibu bapa rosak. Pengaruh sekeliling seperti hiburan dan gajet, rosak. Waktu rehat, aku tengok mereka makan jajan, fries, coklat crunchy tah apa-apa.

Semua ni buat aku makin simpati pada mereka. Bukan mereka minta nak jadi begitu.

Contohnya Taufik yang setiap hari buat scene.

https://www.focusonthefamily.com/parenting/what-boys-need-to-learn-to-become-good-men/

Pertama kali jumpa hari tu, bila tengok Taufik ada kecenderungan memukul orang, aku nasihatkan dia pukul diri sendiri bila rasa nak marah. Kononnya bagi dia faham rasa sakit, so jangan sakitkan orang lain.

Khamis, aku buat kuiz. Taufik tak dapat jawab dan tak dapat duduk. Dia mengamuk pukul kepala sendiri dengan bekas pensel. Berkali-kali. Dan dia tak heran satu kelas tengok dia begitu.

Sedarlah aku, Taufik betul2 ambil cakap aku supaya pukul diri sendiri. Aduuuu..... Macam mana kalau dia cederakan diri pula satu hari nanti?

Sebelum balik, aku jumpa Taufik minta dia berhenti pukul diri. Jangan sedih kalau tak dapat jawab. Benda tu biasa je.. Ustazah tak marah pun. Taufik angguk saja dan balik.

Tapi serius aku rasa bersalah sepanjang malam. Mana ada Islam suruh pukul diri. Kan Nabi SAW ajar kalau marah, tukar posisi atau berwudhuk. Haih, cikgu pun sesat...

Aku wajibkan diri istighfar 100 kali sebelum tidur sebab salah ajar anak murid. Ya Allah, panjangkan umurku dapat jumpa Taufik lagi dan betulkan silapku.. 

Jumaat. Syukur Taufik datang sekolah. Walaupun dia kuat mengamuk macam ni tapi kehadirannya penuh. Aku risau juga kot dia sebal dengan aku dan taknak datang sekolah lagi.

Aku buat kuiz lagi sebelum balik. Taufik masih tak dapat jawab. Tapi kagumnya, sikap dia kali ni tenang. Dia tunggu je aku panggil semula namanya untuk jawab kali kedua.

MasyaAllah.

Ini yang aku suka tentang Taufik. Dia MAHU betulkan diri.

Budak meragam bukan jahat. Mereka cuma tak dilayan dengan betul.

Aku faham sangat sebab pernah jadi 'budak tu' dulu.

Lepas kelas, sekali lagi aku panggil Taufik. Dah macam acara wajib pula mesti jumpa dia sebelum balik.

"Taufik, Ustazah minta maaf sebab salah bagitahu awak. Kalau marah, jangan pukul diri sendiri. Nabi ajar, kalau marah, kita duduk atau baring, atau basuh muka. Taufik jangan pukul diri lagi ya?"

Taufik angguk-angguk polos.

Aku hulurkan sebatang pensel yang sudah diasah tajam kepada Taufik.

"Nah, Ustazah tengok Taufik rajin menulis. Ustazah hadiahkan pensel ni kat Taufik."

Taufik macam terkejut dan pelan-pelan dia ambil pensel tu dengan dua tangan. Ala-ala pahlawan menyambut pedang dari mahaguru.

Hadiah tu bukan sekadar nak ambik hati Taufik. Tapi memang aku nak dia rasa dihargai atas kerajinan menulis. Walaupun kuat mengamuk tapi latihan dia sentiasa siap.

Taufik perlu tahu dia juga ada kualiti bagus dalam diri. Dia juga insan berguna. Bila ada rasa diri berharga, mudah-mudahan kuranglah tabiat mengamuk.

Sampai depan pintu nak keluar kelas, aku tengok Taufik masih pegang penselnya begitu. Tadah dua tangan macam bawa pedang berat. Haha Taufik, Taufik..

Okey, sekarang aku nak tampal pembaris kayu. Minggu ni aku kurang bercakap dan banyak ketuk pembaris kayu untuk diamkan murid. Abis pecah dah pembaris tu dapat kat aku. Orang punya lak tu....😂 K bai.

Ulasan