Taufiq, Aku dan Ustazah Icha

Taufiq meragam lagi. Buat dua hariku belakangan ini terasa kusut.

Sebab aku sangat marah dan kecewa dengan tingkahnya.

Tapi, aku nampak diri sendiri dalam Taufiq.

Seorang kanak-kanak yang murung.

---------

Kelmarin, Taufiq bising dengan kawan-kawannya sewaktu belajar. Berkali-kali aku pandang mereka. Ada yang aku tegur, ada yang tengok saja dengan harapan mereka sedar aku pandang dan diam sendiri.

Di meja guru, aku cuba terangkan pelajaran pada murid lain yang tercicir faham. Sambil melawan suara bising mereka. Ah, kebisingan murid memang spark kemarahanku. Tapi aku dah belajar berdamai dengan kebisingan. Aku dah tak marah lagi. Cuma...

Mereka kusuruh berdiri di luar kelas. Pergilah bising di luar. Jangan di dalam.

Mereka terus diam. Rayyan dengan muka masam, keluar juga perlahan-lahan. Taufiq sebaliknya menjerit padaku.

"Tak naaaakkkkkk!!!!!!" Menjerit yang sesungguhnya mintak penampar.

Akhirnya kubiarkan saja dia. Walaupun rasa tak adil pada Rayyan yang sudah keluar. Tapi tak kuasa aku nak bergusti dengan budak 7 tahun.

Pedih dalam hati dengan jeritan Taufiq buat aku tak selera nak pandang mukanya lagi. Sebelum balik, dia tunggu nak salam aku. Kubuat tak nampak saja dan pura-pura sibuk layan Fathi baiki mainan.

Dah balik rumah pun hatiku masih marah. Entahlah marahkan siapa. Budak 7 tahun yang cedera emosi? Atau ibu bapa yang cederakan emosinya? Atau pada diri sendiri yang tak cukup besar hati menanggung herdikan murid?

Kupohon Allah bimbing bagaimana harusku hadapi budak itu lagi esok.

--------

Dalam ingatanku, melintas Ustazah Icha. Guruku di sekolah asrama masa kecik dulu. Aku masuk asrama semuda 8 tahun. Ustazah Icha ni baik orangnya. Cuma kuat membebel dan bersuara agak nyaring. Pada waktu tu mungkin aku jengkel dengan bebelan Ustazah, aku pun tak ingat. Yang penting aku protes terhadap beliau. Bukanlah protes menjerit-jerit macam Taufiq, tapi aku luahkan maki dan carut pada sehelai kertas. Kertas tu dijumpai dek senior pula. Selamat aku direpot ke Ustazah.

Dalam budaya kita, memprotes orang dewasa adalah kesalahan besar bagi anak muda. Pada masa itu aku sangat tak puas hati, sangat kecewa kenapa orang dewasa (dan guru) tak faham keinginanku. Tiada yang bercakap denganku tapi cuma mahu aku mengikut cakap mereka.

Sekarang aku pula di tempat orang dewasa (dan guru). Allah datangkan murid serupa diriku untuk melihat bagaimana 'cerdiknya' aku tangani 'diriku sendiri'.

---------

Hari kedua, hatiku masih sakit. Taufiq yang polos bercakap denganku seperti biasa tiada apa berlaku tapi aku malas memandang mukanya.

Sekali-sekala terpandang juga kerana sudah biasa memandang semua murid sewaktu mengajar.

Dia sejenis murid yang malas beri perhatian sewaktu guru menerang. Kemudian mengadu tak tahu bila diberi latihan. Itu yang buat jengkelku makin tebal.

Akhirnya sewaktu rehat kupanggil dia.

"Taufiq, semalam awak buat bising waktu belajar. Bila ustazah denda, awak menjerit kat ustazah. Mulai sekarang, ustazah taknak ajar awak lagi. Awak bebas buat apa saja dalam kelas ni. Latihan tak payah buat. Waktu belajar boleh tidur. Nak keluar pun tak payah minta izin ustazah, okey?"

Taufiq angguk. Mukanya pahit.

Aku puas. Dan anehnya, hati aku pun rasa pahit.

Aku tahu ini bukan cara terbaik. Tapi aku perlu masa hingga hati reda dan dapat idea lain nak berdamai dengan budak ni.

Tak lama kemudian, kedengaran murid menjerit-jerit, "Ustazah! Ustazah! Taufiq mengamuk!"

Lantak kaulah... Aku tengok saja Fitri memeluk Taufiq dari belakang macam hero drama melerai pergaduhan.

Taufiq mengamuk sampai ke tepi mejaku. Dihela botol air kawan, digustinya Fitri hingga terperosok bawah meja. Jelas dia nak perhatian aku.

Mungkin dia ingat aku marah-marah manja macam selalu. Marah sikit kemudian belai dia. Tidak. Kali ni hatiku benar-benar luka.

Aku panggil Fitri, belek tangannya yang dicubit Taufiq dan tanya okey ke tidak? Fitri cool saja dan jawab dia kuat. Alhamdulillah... Kalau tidak kang satu hal mak dia wsap aku!

Satu kelas aku suruh ignore Taufiq. Sampai sudahnya dia tercegat sorang-sorang depan kelas dengan mata merah, dan orang lain mula sibuk belajar.

Dengan sendirinya dia balik ke meja dan duduk diam-diam.

Kasihan... Aku rasa nak peluk Taufiq. Dan rasa nak tangankan juga. Faham ke perasaan tu?

Waktu semua murid siapkan latihan, Taufiq tidur di meja. Aku kejut dia bangun, pimpin berjalan satu round di tempat parkir. Tak cakap apape. Cuma kami dua jalan pimpin tangan.

Ya, hatiku masih sakit. Cuma aku nak Taufiq tahu yang aku masih peduli dia. Taknak dia rasa terbuang dari dunia, macam aku rasa dulu.

Kembali ke kelas, mood Taufiq terus okey. Bercakap dan bermain dengan kawan. Begitulah naifnya kanak-kanak.

Beginilah setiap hariku menapak dalam pendidikan. Aku tiada sijil ikhtisas. Cuma ada pengalaman pahit sendiri yang tak mahu kuulang pada murid-murid.

Tulisan-tulisan psikologis banyak membantuku, seperti buku ini.

Saat ini aku berharap, alangkah baik jika ada undang-undang melindungi kanak-kanak yang cedera emosi.

Cedera badan, orang nampak. Cedera emosi, macam Taufiq ni?

Ulasan