DI AMBANG 30 JUN 2013

Selepas Presiden Mubarak diturunkan pada 2011, Mesir tak henti-henti dilanda rusuhan. Port merusuh di Kaherah biasanya Medan Tahrir dan Husin. Di Alex pula mereka berhimpun di dataran Qaid Ibrahim, Mansyiah atau Sidi Jabir. Suasana ketika itu rasa 'berbahang'. Bila-bila saja orang awam boleh berkumpul dan merusuh. 

Kalau tengok muka arab masa tu, tegang dan curiga. Mereka stress dan cepat meradang. Menanti ketibaan 30 Jun, revolusi kedua dijangka meletus.

Seperti biasa aku dan AH ke Sidi Bisyr menghadiri tusyen Nahu bersama Ustazah Sahar. Cuma hari tu kelas tak seperti biasa. Suasana sedikit hambar. Sahabat Amerika tak hadir sebab takut berlaku rusuhan. Fatma dan Su'ad hadir seperti biasa. Ustazah Sahar di balik senyuman menyembunyikan gelisah.

"Dua orang dah mati di Sidi Jabir. Seorang dari Ikhwanul Muslimin. Seorang lagi rakyat Amerika. Saya hairan apa orang Amerika buat di tengah muzoharat?" Ustazah memulakan bicara sesudah menutup sesi kelas.

"Katanya dia guru bahasa Inggeris di markaz bahasa. Datang ke situ sebab nak ambil gambar rusuhan," sambung ustazah. Sendiri hairan, sendiri jawab.

"Kami juga pernah berlaku begini. Ada satu pihak hendakkan jawatan,  dia bayar orang awam supaya buat rusuhan," balas Fatma dari Kyrghistan. Ustazah Sahar dan Su'ad mendengar dengan takjub. Seolah-olah tak sangka negara lain juga ada kekalutan seperti Mesir.

Aku dan AH pun tekun mendengar sebab topik ini jarang-jarang timbul. Selalu kami dengar perkembangan politik Mesir dari Syeikh Alaa' saja.

"Memang betul rusuhan ni dibayar. Dari asalnya cuma krisis dalaman negara, sekarang dah masuk campur tangan luar." Ustazah iyakan kata-kata Fatma.

"Semalam saya tengok satu video. Sorang tokoh Mesir yang kaya-raya, Mr. J (bukan nama sebenar) pemilik syarikat Mobinil. Dia jumpa wakil Amerika dan negara2 barat minta dana untuk dilaburkan kepada 'revolusi'. Katanya, 'revolusi' ni tak boleh gagal. Kalau gagal, Mesir akan jadi negara Islamis." Ustazah Sahar bercerita sungguh2 siap gaya tangan dan kerut kening.

"Tapi, bukan Amerika dan Barat saja yang menyumbang. Emiriyah Arab Bersatu dan Saudi pun menyumbang sama!" tambah beliau. 

Kali ini aku pula yang hairan. "Kenapa pulak Saudi menyumbang untuk tsaurah ni Ustazah? Diorang kan negara Salafi. Ikhwan pun didukung Salafi. Kenapa Saudi menyumbang untuk jatuhkan Ikhwan?" tanyaku langsung. Dalam banyak2 cerita revolusi yang kudengar, ini agak takjub.

"Syusyu, Saudi 'menganut' Salafi pada mazhabnya saja. Tapi dari segi nizom kerajaan dia sama je dengan Mubarak. Pantang sesiapa kritik Raja akan dihumban ke penjara. Sekarang ni kalau Mursi berjaya pimpin Mesir jadi negara Islam yang maju, Saudi takut rakyat dia bangkit tuntut perubahan macam Mesir juga. Sebab tu diorang menyumbang kepada revolusi kedua ni supaya Mursi digugurkan," terang ustazah panjang lebar diakhiri keluhan.

Berapa kali revolusi daa.. Serabut betul.

Sejak revolusi pertama 2011, barulah aku rajinkan diri berbual dengan arab. Berbual yang ringkas saja bertanyakan pandangan dan perasaan mereka terhadap situasi yang berlaku. Kerana aku sedang menyaksikan sejarah tercipta. Rugi jika aku butakan mata dan pekakkan telinga tanpa mengambil apa-apa pengajaran.

Teringat jawapan seorang pemandu tua yang pernah kutanya tentang Mubarak. Dia menyokong Mubarak. Satu-satunya penyokong Mubarak kujumpa. Rata-rata arab yang kutanya tentang Mubarak, pasti memaki hamun. Tapi atuk ni lain. Katanya,

"Mubarak memang teruk. Tapi sekurang-kurangnya waktu pemerintahan dia, negara aman tak huru-hara."

Dengan mentaliti 'Mubarak jahat', aku cuba hadam kata-katanya si gad. Bukan senang nak akui kebaikan pihak yang kita benci.

Kebanyakan orang mungkin mementingkan ideologi dan pihak. Bagi seorang tua yang sudah menyaksikan jatuh-bangun Mesir, perang demi perang di rantau Arab, keamanan lebih penting dari segala-galanya.

Bangun setiap hari masih dapat mencari rezeki, ada makanan untuk dimakan, ada kelapangan untuk beribadah, itu sudah terlebih baik daripada perintah berkurung, pergaduhan, harga barang naik dan hidup dalam ketidak-tentuan.

Nikmat kecil yang jarang disyukuri. Kecuali setelah ia ditarik.
Pengajaran bagiku dari Arab Spring.

Ulasan