Aqashah
Murid kelas hujung tidak asing bagiku. Sejak mula memasuki profesyen perguruan ini aku telah diamanahkan memegang kelas hujung2. Kelas yang muridnya kurang kepandaian akademik dan (biasanya) kurang mahir mengawal sikap diri.
Setiap benda yang ada dalam kelas akan diusik menyebabkan aku risau nak tinggalkan apa-apa. Selain kerusi dan meja, dalam kelasku cuma ada langsir dan tiga bunga hiasan. Itupun perlu dilantik penjaga. Jika tidak, alamatnya punah.
Satu hari, kudapati dalam kelasku ada sebatang permanent marker. Mungkin guru lain yang bawa dan tertinggal di situ. Aku berhasrat mengambilnya selepas sesi PDPc kemudian terlupa pula. Habis! Kuduga pasti esok akan berlaku sesuatu dengan marker itu.
Benar, esoknya kudapati whiteboard sudah berconteng dengan permanent marker.
"Siapa buat ni?" tanyaku dengan muka ketat.
"Khair, ustazah! Dia yang mula-mula masuk kelas tadi. Saya tengok dah ada conteng tu!" jawab Iyas separuh menjerit.
"Mana ada! Aku duduk je." Khair pertahankan diri.
"Ya! Aku nampak kau pegang!"
"Aku pegang je nak tengok marker apa. Mana ada conteng!"
Yang lain terpinga-pinga tak tahu apa. Hanya Iyas saksi. Itu pun dia nampak Khair pegang marker, bukan conteng whiteboard. Kalau ikutkan, logik saja dakwaan Iyas. Cuma Syariah tak benarkan dakwaan kabur. Mesti nampak dengan mata kepala.
Dan sebagai guru, aku paling takut tersalah hukum murid. Mereka akan rasa dizalimi dan mungkin menzalimi orang lain pula di masa depan. Terutamanya budak2 kelas hujung begini. Tapi aku tak suka juga biarkan kesalahan tidak dihukum. Dalam situasi begitu kuhanya mampu memohon petunjuk Allah untuk membuat keputusan yang betul.
"Siapa buat ni, lekas mengaku. Kalau tidak ustazah denda semua dalam kelas ni. Sampai hati kamu biar kawan kena denda sebab kesalahan kamu?"
Semua membisu. Ada yang saling memandang. Ada yang tunduk.
Tiba-tiba Aqashah angkat tangan dan bangun.
"Aqashah, kamu yang buat? Mari ke depan."
Aqashah angguk perlahan. Dia melangkah lemah ke arahku yang sedang terpacak di whiteboard. Kuperhati riak wajah Khair dan Iyas cemas bercampur hairan. Aku separuh yakin, Aqashah tidak conteng. Dia yang kukenal selama ini murid pendiam dan kurang bermain dalam kelas. Tapi kenapa dia nak mengaku ni? Entah. Layan sajalah.
Kupusingkan Aqashah menghadap kelas, berdiri di sebelahku.
"Ustazah nak saksi. Betul ke Aqashah yang buat? Siapa nampak Aqashah buat?"
Diam sunyi. Aku dapat rasa debar dan tegangnya suasana. Mereka merenung Aqashah dan aku bersilih ganti dengan mata berkaca merayu.
"Ustazah bukan nak denda. Ustazah cuma nak tahu siapa conteng. Betul ke Aqashah conteng?"
Khair angkat tangan. "Saya ustazah."
Aku takjub! Biar betul. Kau kena tuduh, lepas tu nak tuduh orang?
"Saya yang buat, ustazah." Khair mengaku perlahan. Kuhela nafas. Plot twist rupanya.
Khair melangkah ke depan dengan pasrah dan Aqashah kusuruh balik ke tempat. Seluruh kelas bisu, mungkin terpana dengan apa yang berlaku.
Aqashah budak pendiam tepi tingkap tu cuba selamatkan kami dari denda!
Khair dah tunduk takut depan cikgu garang ni. Tapi aku takde mood nak marah sebab tersentuh dengan sikap Aqashah. Kuhulur whiteboard marker dan suruh Khair padam semula apa yang dicontengnya.
"Hahaha kena denda!" Boleh pula si Aqif ketawakan Khair. Aku suruh dia bangun join sekali padam whiteboard. Memang gini cara aku. Siapa gelakkan orang kena denda, dia join sekali merasa.
"Semua dengar sini. Ustazah faham kamu kanak2 suka main. Kamu suka mencuba. Tapi ustazah nak kamu bertanggungjawab dengan apa yang kamu buat. Dah conteng, padam. Dah sepah, kemas. Dah rosakkan, repair. Faham?"
Murid2 kelas hujung kesayanganku mengangguk. Kuharap mereka belajar sesuatu dan jadi lebih baik. Dan Aqashah, mesti dihargai atas keberaniannya.
Hari berikutnya, kupanggil Aqashah ke depan kelas dan kuhadiahkan sebuah komik pengembaraan. Seluruh kelas nampak kagum. Ada yang jelas2 cemburu. Memang sengaja aku nak mereka cemburu supaya masing-masing berlumba nak buat baik.
Aqashah terima dengan wajah terharu. Aku jangka dia tiada komik di rumah. Kerana keluarganya susah dan yuran sekolah pun belum mampu bayar. Kuharap hadiah kecilku dapat menggembirakan dia yang selalu menyepi di sudut kelas.
Sebelum ini kusuka tengok Aqashah sebab muka dia handsome walaupun masih budak (haha!). Sekarang aku suka sebab akhlaknya bagus dan gentlemen. Macam manalah suasana rumahnya hingga lahir anak sebaik ini?
Hari ini murid darjah 4 kembali ke sekolah. Aku rindu nak tengok murid2 kelas hujung kesayanganku. Waktu guru lain dah lupa murid mereka dek lamanya PKP, aku masih ingat muka, nama dan perangai muridku kerana jenuhnya melayan mereka sebelum ini.
Namun kutakkan berjumpa Aqashah lagi. Keluarganya sudah berpindah menetap di kampung dan Aqashah terpaksa bertukar sekolah. Urusan berhenti pun ibunya terpaksa wakilkan orang lain. Maka tiada sikitpun peluangku bertemu murid baik ini lagi.
Terima kasih Aqashah, ajar kawan-kawan tentang berani dan tidak pentingkan diri. Kehadiran kamu yang sekejap beri makna besar pada semua. Semoga Aqashah berjaya dalam hidup dan ingat ustazah dalam doamu.
Plot twist: Dua minggu lepas buka sekolah, emak Aqashah hubungi saya maklumkan dia tak jadi berhenti. Beriya jelah ustazah tulis sedih2. Haha!
Ulasan
Catat Ulasan