Bertamu Ke Rumah Arab 2
Namun pengalaman yang paling tidak boleh saya lupakan ialah bertamu ke rumah dua orang kawan Arab, Iman dan Fatma. Mereka tinggal di Hanouville, bersebelahan bandar pelabuhan Ajamy di pinggir Iskandariah. Kunjungan kali ini atas jemputan Fatma yang baru melahirkan putera sulungnya. Sewaktu kenduri walimahnya beberapa bulan sebelum itu Fatma turut menjemput kami tetapi saya tidak hadir. Rugi tak dapat tengok pesta Arab kahwin!
Sebelum ke rumah Fatma, kami berlapan terlebih dulu berkunjung ke rumah Iman. Perjalanan jauh ke rumahnya melalui pekan dan bandar yang tidak biasa dikunjungi pelajar Malaysia. Dari pekan kecil yang tenang, pasar barangan terpakai di belakang pelabuhan, depoh minyak dengan paip besar melintang seperti jejambat di atas lebuhraya hinggalah bandar Ajamy yang sesak dan padat. Hampir sejam perjalanan, kami turun di pekan Hanouville tunggu Iman datang menjemput.
Iman, gadis kecil molek yang berdarah asli Mesir datang dari keluarga penyokong kuat Ikhwanul Muslimin. Penampilannya dengan berkelubung hitam seluruh tubuh sedikit pun tidak menimbulkan rasa kekok di mata kami kerana sudah biasa melihat orang arab berpakaian begitu. Sampai di rumah Iman kami berbual dengan ibu dan adik perempuannya di ruang tamu sambil menyangka persinggahan di situ cuma sebentar. Rupanya Mama Iman sudah menyediakan agenda supaya kami berlama-lama di situ menjadi tetamunya.
Daripada berbual dan bertukar fikiran tentang Mesir, kami berpindah ke dalam bilik melihat gambar dan video majlis pertunangan Iman. Majlis diadakan di kampung mereka di Aswan dan disambut meriah dengan jamuan dan joget lambak! Selepas upacara menyarung cincin, Iman yang memakai gaun ungu dalam video nampak malu-malu dan kekok bila ditarik supaya menari dengan bakal ibu mertuanya. Aksi tambah melucukan selepas itu bila dua orang besan menari di tengah kerumunan sanak saudara. Baru majlis pertunangan sudah begitu meriah. Tapi apa yang lebih menarik ialah majlis dan joget lambak mereka hanya dalam kelompok ahli keluarga perempuan sahaja. Sangat manis.
Sambil melihat gambar-gambar percutian keluarga mereka di Aswan, kami dihidangkan dengan sandwich ringkas. Roti, hirisan daging lancheon (daging mampat seperti sosej tapi besar), sayur jeruk, hirisan keju dan potongan timun dan karot mentah. Bagi tekak Melayu yang biasa menjamah nasi di tengah-tengah hari begitu memang kelihatan sandwich kurang menyelerakan. Tapi dah nama pun bertamu, makan sajalah apa yang tuan rumah hidang! Inilah hidangan biasa orang Arab bahkan saya kira hirisan daging yang ada tu sudah dikira mewah. Sebab biasa yang saya lihat mereka hanya makan roti dengan keju sahaja. Apapun hidangan sandwich ringkas tu sangat berkhasiat dan mengenyangkan.
Mama Iman menyangka kami akan datang lebih ramai lalu dia menyediakan sandwich dengan banyak. Jenuhlah kami menghabiskan semuanya. Sambil makan melarat-laratlah berbual dan bergurau senda. Mama Iman ikut bersantai dengan kami di atas katil. Waktu itu segala tudung dan stokin sudah terbang. Kami melepak macam di rumah sendiri. Selepas sandwich mereka jamu pula dengan kek dan biskut kelapa. Kenyang teramat sangat sampaikan masing-masing tak larat berdiri. Inilah bahananya bertamu dengan Arab!
Menjelang asar bertalu-talu panggilan datang dari Fatma. Sejak zohor dia sudah menelefon tetapi sengaja diabaikan Mama Iman supaya kami bersantai lebih lama dengan mereka. Bila kami jelaskan yang kami perlu pulang sebelum malam, Mamanya akur dan barulah kami dapat bersiap ke rumah Fatma pula. Iman, Mamanya dan adiknya Sumayyah ikut bersama kami. Rupanya mereka sekeluarga sama berkelubung hitam seperti Iman. Selama ini saya hanya melihat perempuan-perempuan berkelubung ni dari luaran sahaja dan ini kali pertama dapat bergaul rapat dengan orang seperti mereka. Kelihatan penampilan mereka sangat mudah dan ringkas. Walaupun ‘menyeramkan’ di luar tapi di dalam rumah mereka tetap juga perempuan biasa yang ber-skirt jeans, ber-blouse pendek dan bergaya menawan. Siapa kata yang bertutup tu tak cantik!
Seperti sardin, kami berhimpit dalam sebuah van kecil ke rumah Fatma. Rupanya dua keluarga ini saling mengenali dan sangat rapat. Mungkin juga kerana sama-sama bergiat aktif dengan gerakan Ikhwanul Muslimin. Fatma tinggal berdua dengan suaminya. Tetapi petang itu ibu, makcik dan adik-adiknya turut serta meraikan kedatangan kami. Selepas solat asar kami berkumpul di ruang tamu berbual dengan keluarga Fatma. Semua perempuan yang pastinya.
Di situ kami lihat rupa fizikal keluarga Fatma sangat berbeza dari keluarga Iman. Jika Iman kecil molek berkening hitam lebat dengan kulit sawo matang, Fatma pula tinggi lampai berkulit cerah dengan kening coklat lebat. Katanya darah keturunan keluarganya berasal dari Turki. Inilah antara keunikan negara Mesir yang bangsa Arabnya dibina dari pelbagai campuran keturunan.
Kata Mama Fatma, mughaat ni makanan tambahan yang baik untuk kesihatan tulang dan tubuh keseluruhannya. Lebih baik dimakan oleh perempuan yang baru bersalin macam Fatma. Rempahnya sangat mahal hampir seratus geneh sekilo! Dengar bunyi mahal sangat macam tu rasa kesianlah pula kalau tak habis. Kami makanlah juga, kongsi seorang sedikit dan campur dengan buah-buah bagi hilang rasa minyak gamatnya tu.
Sebelum maghrib kami dihidangkan dengan makan malam. Adik Fatma, Khadijah yang menuntut di tahun satu kuliah syariah Al-Azhar baru pulang dari kelas petangnya. Lagi sekali kami tenggelam dalam keriuhan, kali ini lebih dahsyat lagi dengan pertemuan dua keluarga. Mama Iman, Mama Fatma dan makciknya makan bertiga di muka pintu sedang kami berlonggok di dalam bilik mengelilingi nasi dan ikan talapia bakar. Mereka berbual tak ingat dunia sampai kami semua selesai makan mereka masih di situ. Walaupun tak berapa faham dengan bahasa pasar mereka tapi bila sekali ketawa kami semua ikut ketawa lihat gelagat mereka.
Satu lagi kebiasaan orang Arab yang saya lihat ialah melangkah hidangan dan lalu di depan muka orang. Rasa janggal lihat adik-adik Fatma melangkah ibu mereka yang sedang makan di muka pintu. Kami berlapan segan dan takut-takut nak lalu. Bila minta lalu di belakang mereka tak faham pula, suruh langkah saja makanan yang melintang di tengah jalan. Bagi orang Melayu kita perbuatan begini memang tak sopan dan silap haribulan kaki dikutil. Tapi bagi Arab ia perbuatan biasa.
Selepas maghrib, selepas kekenyangan dengan makanan dan gelak ketawa barulah kami bertolak pulang ke Mandarah. Iman, ibu dan adiknya menemani kami sampai mendapat bas dan siap membayarkan tambang. Memandangkan Mandarah adalah stesyen terakhir kami terus melelapkan mata sepanjang perjalanan.
Selepas maghrib, selepas kekenyangan dengan makanan dan gelak ketawa barulah kami bertolak pulang ke Mandarah. Iman, ibu dan adiknya menemani kami sampai mendapat bas dan siap membayarkan tambang. Memandangkan Mandarah adalah stesyen terakhir kami terus melelapkan mata sepanjang perjalanan.
Seharian bertamu ke rumah Arab dengan macam-macam kerenah dan gaya, memang pengalaman manis yang takkan dilupa. Inilah sikap bangsa Arab yang sangat memuliakan tetamu. Selalu hanya dibaca dalam syair-syair yang kami pelajari di kuliah namun kali ini sangat beruntung dapat melaluinya sendiri. Rugi sesiapa yang terlalu memandang skeptikal terhadap orang Arab ni sampai tak nampak langsung kebaikan mereka. Benar ada terlalu banyak perbezaan budaya, mentaliti dan sikap tapi semua perbezaan tu tak lebih sekadar warna-warna pelangi yang Allah jadikan buat menghias dunia. Yang penting seakidah seagama, dengan positif dan terbuka segala perbezaan akan mudah dilalui.
Ulasan
Catat Ulasan